Jumaat, 1 Januari 2021 | 7:46am
Kakitangan perubatan menjadi kumpulan pertama menerima vaksin COVID-19 di Gdansk, Poland. - Foto EPA
Kakitangan perubatan menjadi kumpulan pertama menerima vaksin COVID-19 di Gdansk, Poland. - Foto EPA

50 negara mula program vaksin COVID-19

PARIS: Kira-kira 50 negara memulakan program inokulasi rakyat masing-masing bagi melawan COVID-19, selepas lebih setahun China mengeluarkan amaran berikutan penularan wabak yang bermula dari republik itu.

China, negara pertama wabak pandemik itu mula muncul, turut menjadi yang pertama memulakan vaksinasi pada musim panas dengan menyasarkan golongan berisiko, tanpa menunggu vaksin terbabit diluluskan secara rasmi.

Setakat ini, hampir lima juta rakyat China disuntik vaksin dan Beijing semalam memberikan persetujuan pasaran bersyarat kepada vaksin Sinopharm yang mempunyai kadar keberkesanan 79 peratus terhadap COVID-19.

Russia menyusul pada 5 Disember lalu, dengan melaksanakan program vaksinasi terhadap golongan berisiko menggunakan vaksin kontroversi, Sputnik V, selepas ia diluluskan dan dilancarkan pada Selasa lalu di Belarus serta Argentina.

Algeria pula merancang untuk mengikuti jejaki Russia pada bulan ini manakala Britain mengetuai dunia Barat apabila mengesahkan penggunaan vaksin dihasilkan pakatan firma farmaseutikal Amerika Syarikat (AS)-Jerman iaitu Pfizer-BioNtech.

Menurut Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS), hampir 800,000 orang menerima suntikan di negara itu, yang memulakan program vaksinasi pada 8 Disember lalu.

Kelmarin, Britain turut menjadi negara pertama yang meluluskan vaksin COVID-19 dihasilkan AstraZeneca dan Universiti Oxford, yang akan digunakan untuk pertama kali pada 4 Januari ini.

Kanada dan AS memulakan program vaksinasi pada 14 Disember lalu manakala Switzerland pada 23 Disember lalu, diikuti Serbia pada 24 Disember.

Kebanyakan negara Kesatuan Eropah (EU) menjalankan program itu pada 27 Disember lalu dengan Norway memulakannya Ahad lalu dan Iceland pula pada Selasa lalu, semuanya menggunakan vaksin Pfizer-BioNTech.

AS dan Kanada juga adalah dua negara yang memberi kebenaran penggunaan vaksin keluaran syarikat farmaseutikal, Moderna, yang akan diluluskan pada 6 Januari oleh EU.

Kira-kira 2.8 juta rakyat AS diberikan dos pertama suntikan COVID-19, dengan Jerman antara 27 negara EU yang memberi suntikan paling banyak membabitkan lebih 130,000 dos dalam tempoh lima hari.

Di Asia Barat, Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjadi negara pertama melancarkan kempen vaksinasi dengan menggunakan vaksin dari China iaitu Sinopharm pada 14 Disember lalu di Abu Dhabi.

Dubai pula memulakan program vaksinasi pada 23 Disember lalu, menggunakan dos dari Pfizer-BioNTech.

Arab Saudi dan Bahrain, masing-masing melancarkan kempen pada 17 Disember dan menyusul dua hari selepas itu adalah Israel, disusuli Qatar pada 23 Disember, Kuwait (24 Disember) dan Omar (27 Disember).

Kesemua negara itu menggunakan vaksin Pfizer-BioNTech kecuali Bahrin yang memilih vaksin Sinopharm.

Turki, yang menerima vaksin Sinovac dari China, akan melancarkan program vaksinasinya pada pertengahan bulan ini.

Sementara itu, negara di benua Amerika Latin seperti Mexico, Chile dan Costa Rica melancarkan program vaksinasi menggunakan vaksin Pfizer-BioNTech pada 24 Disember lalu.

Di Asia, Singapura memulakan kempen vaksinasi kelmarin dengan menggunakan vaksin sama manakala negara lain di rantau sama seperti India, Jepun dan Taiwan merancang untuk mulakan suntikan vaksin pada suku pertama tahun ini.

Pakistan pula pada suku kedua dan Afghanistan serta Thailand dijadualkan berbuat demikian pada pertengahan tahun ini.

Di benua Afrika dan Oceania, program vaksinasi masih belum bermula tetapi di Guinea yang terletak di Afrika Barat akan memberikan beberapa dos pertama Sputnik V keluaran Russia secara percubaan pada minggu ini. - AFP

Berita Harian X