Isnin, 16 November 2020 | 8:19am
(Gambar fail) Perdana Menteri Britain, Boris Johnson. - FOTO AFP
(Gambar fail) Perdana Menteri Britain, Boris Johnson. - FOTO AFP

COVID-19: PM Britain kuarantin kendiri selepas kontak disahkan positif

LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, sedang menjalani kuarantin kendiri selepas individu kontak beliau disahkan positif COVID-19, menurut seorang jurucakap Downing Street, semalam.

"Beliau akan terus bertugas dari Downing Street, termasuk menerajui tindak balas kerajaan terhadap pandemik itu," katanya.

Johnson pernah dimasukkan ke wad akibat jangkitan wabak berkenaan, April lalu.

"Kali ini, Perdana Menteri adalah sihat dan tidak mengalami sebarang gejala," kata jurucakap itu.

Johnson diminta menjalani kuarantin kendiri berikutan pertemuan dengan sekumpulan kecil Ahli Parlimen di Downing Street, Khamis lalu, termasuk seorang yang kemudian mengalami gejala dan disahkan positif COVID-19.

April lalu, Johnson, 56, dijangkiti wabak itu dan dimasukkan ke unit rawatan rapi selama tiga malam, sekali gus menzahirkan penghargaan kepada petugas hospital kerana menyelamatkan nyawanya.

Beliau memaklumkan, keadaan penyakitnya itu diburukkan lagi dengan faktor berat badan berlebihan, namun kini ia sudah menurun sebanyak 12 kilogram.

"Saya akan meneruskan diet itu, kerana anda perlu mencari hero dalam diri anda, dengan harapan bahawa individu itu adalah lebih kurus," katanya berseloroh, bulan lalu.

Britain yang muncul negara paling terkesan dengan pandemik itu di Eropah, mencatatkan lebih 50,000 kematian daripada kira-kira 1.2 juta kes positif. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X