Ahad, 20 September 2020 | 9:01am
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson (kiri) ketika melawat Jenner Institute di Oxford, tengah England bagi memantau perkembangan penyelidikan vaksin bagi COVID-19. - Foto AFP
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson (kiri) ketika melawat Jenner Institute di Oxford, tengah England bagi memantau perkembangan penyelidikan vaksin bagi COVID-19. - Foto AFP

Denda £10,000 jika langgar larangan COVID-19 di England

LONDON: Penduduk England yang mengingkari arahan pengasingan diri bagi mengekang penularan COVID-19 boleh didenda sehingga £10,000 (RM53,145) di bawah peraturan baharu lebih tegas yang diumumkan semalam.

Perdana Menteri, Boris Johnson, berkata Britain kini sedang menghadapi gelombang kedua serangan virus itu dan mengumumkan perintah larangan baharu terhadap jutaan penduduknya di barat laut, utara, dan tengah England.

"Selain itu, mulai 28 September ini, mereka yang disahkan positif COVID-19 atau terbabit dalam pengesanan kontak oleh Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS), diwajibkan menjalani pengasingan diri.

"Kaedah terbaik bagi melawan virus ini ialah dengan semua orang mematuhi peraturan dan melakukan pengasingan diri jika berisiko menyebarkan virus.

"Jangan pandang remeh kerana di bawah peraturan baharu ini anda diwajibkan oleh undang-undang untuk melakukan pengasingan diri jika positif COVID-19 atau diarah berbuat demikian oleh NHS," katanya dalam satu kenyataan.

Buat masa sekarang, mereka yang mempunyai simptom atau disahkan positif virus itu diminta melakukan pengasingan diri selama 10 hari dan 14 hari bagi mereka yang tinggal bersama individu mempunyai simptom atau disahkan positif.

Denda pula bermula dari £1,000 (RMRM5,314) bagi kesalahan melanggar perintah kuarantin selepas ke luar negara, sehingga £10,000 (RM53,145) bagi kesalahan berulang dan pelanggaran peraturan yang serius.

Antara lain termasuk tindakan terhadap majikan yang mengugut mahu membuang pekerja yang terpaksa menjalani pengasingan diri.

Sebagai insentif bagi mendorong orang ramai mematuhi peraturan itu, golongan berpendapatan rendah boleh menuntut bayaran tambahan £500 (RM2,657) jika mereka tidak dapat bekerja dari rumah ketika pengasingan diri.

Kata Johnson, walaupun orang ramai secara umumnya melakukan yang terbaik bagi mematuhi peraturan baharu, beliau tidak mahu melihat ada yang merasakan tidak mampu bagi melakukannya dari segi kewangan.

Hampir 42,000 mangsa yang disahkan positif Covid-19 menemui ajal di Britain iaitu kadar kematian terburuk di Eropah.

Selepas kes berkurangan semasa musim panas, kini jangkitan semakin memuncak dan kelmarin, Johnson mengeluarkan amaran mengenai gelombang kedua

"Kita sudah melihatnya di Perancis, Sepanyol dan serata Eropah, saya amat yakin kita tidak akan dapat mengelakkan gelombang kedua di Britain," katanya.

Peraturan baharu melarang perhimpun lebih enam orang dari isi rumah berbeza mula berkuatkuasa minggu ini dan perintah lain pada peringkat tempatan turut diperkenalkan.

Johnson juga mengakui keengganannya untuk mengisytiharkan perintah berkurung sekali lagi di seluruh negara berikutan sekatan yang sedia ada dikritik hebat anggota parti Konservatif pimpinannya.

Di London semalam, kumpulan penunjuk perasaan anti-vaksin dan anti perintah berkurung bertembung dengan polis di Medan Trafalgar, menyebabkan 32 orang ditahan. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X