Jumaat, 12 Jun 2020 | 9:47am
Ketua ILO, Guy Ryder. - Foto AFP
Ketua ILO, Guy Ryder. - Foto AFP

COVID-19: Jutaan kanak-kanak berisiko jadi buruh

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan krisis COVID-19 mungkin mendorong jutaan kanak-kanak untuk bekerja.

Agensi di bawah PBB, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Tabung Kanak-kanak PBB (UNICEF) menyatakan bilangan buruh kanak-kanak menurun sebanyak 94 juta sejak tahun 2000, namun bimbang jumlah itu akan meningkat semula disebabkan kemiskinan.

Menurut Bank Dunia, jumlah penduduk miskin akan meningkat dengan mendadak sehingga 60 juta orang pada tahun ini.

Ketua ILO, Guy Ryder, berkata pandemik ini memberi kesan terhadap pendapatan keluarga dan tanpa sokongan, anak-anak mungkin akan didorong untuk bekerja.

Kaitan antara kemiskinan dan lonjakan buruh kanak-kanak sangat jelas berdasarkan kepada kajian daripada beberapa negara menunjukkan peningkatan satu peratus kemiskinan membawa kepada 0.7 peratus kenaikan buruh kanak-kanak yang turut mengancam kesihatan dan keselamatan mereka.

Malah kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa juga mendorong mereka untuk menjadi ketua keluarga, sekali gus terdedah kepada eksploitasi terutamanya budak perempuan khusus dalam kerja domestik dan pertanian.

Ketua UNICEF, Henrietta Fore, berkata ketika krisis ini, buruh kanak-kanak menjadi mekanisme diharapkan oleh kebanyakan keluarga lebih-lebih lagi ketika sekolah ditutup yang memberi kesan kepada lebih satu bilion pelajar di 130 negara, malah jika sekolah dibuka, yuran juga tidak mampu dibayar.

Perbincangan dalam kalangan pertubuhan berkaitan dibuat sebagai langkah pembetulan termasuklah penyingkiran yuran sekolah dan menggesa negara untuk menggalakkan perlindungan sosial serta akses mudah untuk isi rumah yang miskin.

"Sebagaimana kita bayangkan dunia selepas COVID-19, kita kena pastikan kanak-kanak dan keluarga mempunyai mekanisme sebagai persiapan berdepan cabaran masa hadapan.

"Pendidikan berkualiti, perkhidmatan perlindungan sosial dan peluang ekonomi lebih baik akan menjadi faktor yang merubah keadaan," kata Fore.

Menurut kajian ILO pada 2017, sekurang-kurangnya 152 juta kanak-kanak dipaksa bekerja dari 2012 hingga 2016, termasuk 73 juta dalam situasi berbahaya. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X