Ahad, 15 March 2020 | 7:26pm
Ketua Eksekutif Konsortium Runcit British (BRC), Helen Dickinson.
Ketua Eksekutif Konsortium Runcit British (BRC), Helen Dickinson.

Pasar raya British rayu pengguna hentikan pembelian panik

LONDON: Peruncit makanan Britain hari ini merayu pengguna menghentikan pembelian panik susulan wabak COVID-19 kerana membeli barangan melebihi keperluan akan memberi kesan kepada pengguna lain.

Konsortium Runcit British (BRC), yang mewakili kumpulan pasar raya termasuk Tesco, Sainsbury’s, Asda dan Morrisons, berkata peruncit bersama-sama menulis surat menggesa pengguna bertimbang rasa ketika membuat pembelian.

Ketua Eksekutif BRC, Helen Dickinson, berkata surat itu akan diterbitkan dalam ruangan iklan akhbar nasional pada hari ini dan esok.

“Kami memahami kebimbangan anda, namun membeli lebih daripada yang diperlukan boleh menyebabkan pengguna lain tidak dapat membeli barangan keperluan.

“Barangan yang ada ketika ini akan mencukupi jika kita semua bekerjasama,” katanya dalam surat itu.

Sejak beberapa minggu kebelakangan, media sosial dipenuhi dengan gambar rak kosong di pasar raya utama Britain, dengan barangan seperti pasta, tisu tandas dan makanan dalam tin antara yang habis dijual.

Urusan jual beli di pasar raya United Kingdom (UK) berlangsung dalam keadaan penuh persaingan, dengan sebilangan pemilik premis menyamakannya seperti pembelian saat akhir menjelang Krismas.

Setakat semalam, 21 individu meninggal dunia di Britain selepas disahkan positif COVID-19, kata pihak berkuasa kesihatan.

Dalam surat yang ditujukan kepada pelanggan, Dickinson berkata peruncit makanan bekerjasama rapat dengan kerajaan dan pembekal bagi memastikan sistem pembekalan makanan bergerak lancar.

Jelas beliau, lebih banyak penghantaran ke premis perniagaan dilakukan bagi memastikan rak sentiasa dipenuhi barangan.

Katanya, peruncit yang menyediakan perkhidmatan penghantaran dalam talian serta ‘klik-dan-ambil’ beroperasi pada tahap tertinggi.

Khamis lalu, Pengerusi Tesco, John Allan, berkata peruncit itu, yang memiliki kepentingan 27.2 peratus dalam pasaran runcit, hanya akan berdepan kekurangan produk tertentu dalam tempoh singkat dan sementara. - REUTERS

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X