Selasa, 27 Ogos 2019 | 11:09pm
Kira-kira 40 orang dikhuatiri maut atau hilang selepas sebuah bot membawa pendatang menuju ke Eropah dilaporkan karam di luar pantai Libya. - Foto fail
Kira-kira 40 orang dikhuatiri maut atau hilang selepas sebuah bot membawa pendatang menuju ke Eropah dilaporkan karam di luar pantai Libya. - Foto fail

40 maut, bot karam di Libya

GENEVA: Kira-kira 40 orang dikhuatiri maut atau hilang selepas sebuah bot membawa pendatang menuju ke Eropah dilaporkan karam di luar pantai Libya, manakala 60 lagi berjaya diselamatkan, kata Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNCHR), hari ini.

“Berita buruk diterima mengenai kehilangan nyawa yang ramai dalam insiden bot karam di luar pantai Libya,” kata jurucakap UNCHR, Charlie Yaxley menerusi ciapan di Twitter.

“Kira-kira 60 orang berjaya diselamatkan dan dibawa ke pantai manakala dianggarkan 40 orang mungkin mati atau hilang,” kata jurucakap pengawal pantai Libya, Ayoub Qassem.

Katanya, lima mayat sudah ditemui manakala 65 pendatang lain berjaya diselamatkan iaitu kira-kira 14 kilometer dari pantai bandar Khoms, dekat sini.

Tambahnya, tiga mayat yang ditemui itu adalah dari Maghribi, seorang dari Sudan dan seorang dari Somalia.

UNCHR berkata, kebanyakan mangsa diselamatkan adalah dari Sudan, Mesir, Maghribi dan Tunisia.

Ribuan pendatang dilaporkan maut setiap tahun di tengah Mediterranean dan ratusan ribu daripada mereka dikatakan cuba menyeberang Afrika Utara ke Eropah, sejak kebelakangan ini. - Reuters

Berita Harian X