Ahad, 30 September 2018 | 8:40am
Bendera Negara Macedon berkibar di hadapan bangunan kerajaan, menjelang referendum perjanjian 'Macedonia deal', di bandar Skopje, Bekas Republik Yugoslavia Macedonia. - Foto EPA
Bendera Negara Macedon berkibar di hadapan bangunan kerajaan, menjelang referendum perjanjian 'Macedonia deal', di bandar Skopje, Bekas Republik Yugoslavia Macedonia. - Foto EPA

Rakyat Macedonia keluar mengundi tukar nama negara

SKOPJE: Rakyat Macedonia keluar mengundi hari ini sama ada untuk menukar negara itu kepada Republik Macedonia Utara, desakan disuarakan kerajaan pro-Barat bagi membuka jalan menganggotai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Kesatuan Eropah (EU) dengan menyelesaikan pertelingkahan mengenai nama dengan Greece sejak beberapa dekad.

Pungutan suara itu adalah antara halangan terakhir perjanjian yang dicapai antara Macedonia dan Greece Jun lalu untuk menyelesaikan perbalahan itu, yang menghalang Macedonia daripada menyertai dua institusi itu sejak ia berpisah dari Yugoslavia pada 1991.

Greece, yang memiliki wilayah sendiri diberi nama Macedonia di utara negara itu, menegaskan nama Macedonia mewakili tuntutan ke atas wilayahnya.

Ia melarang kemasukan Macedonia ke NATO dan EU, dan memaksa ia menyertai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan nama sementara sebagai Republik Macedonia Bekas Yugoslavia atau FYROM.

Perdana Menteri Macedonia, Zoran Zaev, berkata penerimaan nama baru adalah harga yang berbaloi dibayar untuk menyertai NATO dan EU.

Namun pembangkang nasionalis berkata, ia merendahkan identiti etnik negara yang ramai penduduk Slavik itu.

Presiden Gjorge Ivanov berkata, beliau memulaukan pungutan suara berkenaan.

Undian bagi 1.8 juta pengundi akan dibuka pada jam 7.00 pagi waktu tempatan dan ditutup pada jam 7.00 malam waktu tempatan.

Soalannya di atas kertas undian adalah: “Adakah anda setuju menganggotai NATO dan EU dengan menerima persetujuan dengan Greece?”

Pungutan suara itu lebih kepada nasihat dan tidak terikat dengan undang-undang tetapi anggota Parlimen berkata mereka akan mematuhi keputusan undian itu.

Pertukaran nama memerlukan persetujuan majoriti dua pertiga di Parlimen. — Reuters

Berita Harian X