SEOUL: Korea Selatan hari ini mengumumkan untuk membayar pampasan kepada mangsa buruh paksa Jepun semasa perang tanpa pembabitan kerajaan negara matahari terbit itu biarpun Seoul kini sedang berusaha untuk lebih rapat dengan Tokyo bagi menentang Pyongyang.
Korea Selatan dan Jepun adalah dua sekutu keselamatan serantau utama Amerika Syarikat (AS), tetapi hubungan dua hala mereka sudah lama tegang berikutan pemerintahan penjajah Tokyo yang kejam pada 1910-1945 di semenanjung Korea.
Menurut data dari Seoul, kira-kira 780,000 warga Korea menjadi buruh paksa oleh Jepun selama 35 tahun pendudukan negara itu, tidak termasuk wanita yang dipaksa menjadi hamba seksual oleh tentera Jepun.
Menteri Luar, Park Jin menggariskan rancangan untuk sebuah yayasan Korea Selatan memberi pampasan kepada mangsa dan keluarga mereka.
"Saya berharap Jepun akan bertindak balas secara positif terhadap keputusan utama kami hari ini (semalam) dengan sumbangan sukarela syarikat Jepun dan permohonan maaf menyeluruh," katanya.
Media Jepun sebelum ini melaporkan firma negara itu boleh memberikan sumbangan secara sukarela, manakala Tokyo dijangka menyatakan kekesalan terhadap isu buruh paksa seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.
Tokyo menegaskan, perjanjian 1965 yang menyaksikan kedua-dua negara memulihkan hubungan diplomatik dengan pakej ganti rugi kira-kira AS$800 juta (RM3.5 bilion) dalam bentuk geran dan pinjaman murah, menyelesaikan semua tuntutan antara kedua-duanya berkaitan dengan zaman penjajah.
Pelan baharu kerajaan Seoul akan menggunakan yayasan tempatan untuk menerima sumbangan daripada syarikat utama Korea Selatan dengan mereka yang mendapat manfaat daripada pakej ganti rugi 1965 daripada Jepun untuk membayar pampasan kepada mangsa.
Dalam perkembangan sama, Park juga berkata, perjanjian penting itu adalah kunci untuk meningkatkan hubungan antara Tokyo dan Seoul.
"Kerjasama antara Korea dan Jepun sangat penting dalam semua bidang diplomasi, ekonomi dan keselamatan di tengah-tengah situasi antarabangsa yang teruk dan krisis global yang kompleks.
"Saya percaya 'lingkaran jahat' itu harus dipecahkan demi kepentingan rakyat di peringkat kepentingan negara dan bukannya membiarkan hubungan yang tegang itu tanpa pengawasan untuk masa yang lama," katanya.
Langkah menyelesaikan isu buruh paksa susulan pertikaian bertahun-tahun berhubung hamba seks Perang Dunia II dikesan menjejaskan hubungan Jepun-Korea Selatan.
Pada 2015, Seoul dan Tokyo mencapai perjanjian bahawa menyelesaikan itu 'akhirnya dan tidak dapat dipulihkan' dengan hanya permohonan maaf daripada Jepun dan pembentukan dana 1 bilion yen untuk mangsa yang terselamat.
Namun begitu, Korea Selatan kemudiannya berundur daripada perjanjian itu dan membatalkannya dengan alasan kekurangan persetujuan mangsa.
Ia membawa kepada pertikaian diplomatik yang ketara sehingga menjejaskan hubungan perdagangan dan keselamatan. - AFP