PARIS: Gempa bumi kuat melanda tenggara Turkiye dan negara jiran Syria awal Isnin lalu, memusnahkan bandar dan mengorbankan serta mencederakan puluhan ribu orang.
Gempa bumi pertama berukuran 7.8 pada skala Richter pada 4.17 pagi (waktu tempatan) pada kedalaman 18 kilometer berhampiran bandar Gaziantep di Turkiye, yang menempatkan kira-kira dua juta orang, kata Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS).
Ia kemudian diikuti gempa susulan berukuran 7.5 pada skala Richter dan beberapa gegaran susulan.
Gempa itu memusnahkan seluruh bahagian bandar utama di Turkiye dan Syria yang dilanda perang saudara yang mengakibatkan jutaan melarikan diri dari negara itu ke wilayah lain untuk mendapatkan perlindungan.
Lebih 21,000 orang terbunuh dan puluhan ribu lagi cedera dengan usaha menyelamatkan mangsa yang diperangkap di bawah timbunan runtuhan, diteruskan untuk hari kelima dalam keadaan suhu beku.
Setakat semalam, pegawai dan pasukan perubatan memaklumkan seramai 17,674 orang terkorban di Turkiye dan 3,377 lagi di Syria, menjadikan jumlah rasmi terkini seramai 21,051 orang.
Usaha menyelamat awal terhalang oleh ribut musim sejuk yang menyebabkan jalan utama ditimbuni ais dan salji selain mengakibatkan tiga lapangan terbang utama kawasan itu tidak dapat beroperasi, menyukarkan penghantaran bantuan penting.
Ketika ini mereka yang terselamat masih dikeluarkan daripada bangunan runtuh, walaupun pakar bencana memberi amaran peluang untuk menyelamatkan nyawa menurun mendadak selepas tempoh 72 jam.
Kemusnahan paling teruk berlaku berhampiran pusat gempa antara Kahramanmaras dan Gaziantep, yang mana seluruh blok bandar runtuh.
Turkiye berkata hampir 3,000 bangunan runtuh di tujuh wilayah berbeza, termasuk hospital awam.
Sebahagian sebuah masjid terkenal sejak abad ke-13 runtuh di wilayah Maltaya, yang mana sebuah bangunan 14 tingkat dengan 28 unit pangsapuri yang menempatkan 92 orang runtuh serta hantaran di media sosial menunjukkan sebuah istana atas bukit berusia 2,200 tahun yang dibina oleh tentera Rom di Gaziantep ranap.
Di Syria, Kementerian Kesihatan melaporkan kerosakan di seluruh wilayah Aleppo, Latakia, Hama dan Tartus, yang mana Russia memajak kemudahan tentera laut.
Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) memberi amaran dua tapak dalam Senarai Warisan Dunianya, bandar lama Aleppo Syria dan kubu di bandar Diyarbakir di tenggara Turkiye, mengalami kerosakan dan beberapa bangunan lain turut menghadapi risiko sama.
Malah sebelum tragedi, bangunan di Aleppo sering tumbang kerana infrastruktur lemah dan banyak bangunan usang selepas lebih sedekad perang.
Selain itu, sebahagian besar Antakya di selatan-tengah Turkiye yang pernah menjadi bandar purba Antioch juga runtuh.
Perkampungan Tloul di Syria dinaiki air apabila sebuah empangan lumpur pecah hingga menenggelamkan rumah, jalan dan ladang tanaman.
Agensi penarafan Fitch berkata, gempa itu boleh menyebabkan kerugian ekonomi melebihi AS$4 bilion (RM 17.32 bilion). Kerugian yang diinsuranskan akan jauh lebih rendah, mungkin sekitar AS$1 bilion (RM4.33 bilion), disebabkan oleh perlindungan insurans yang rendah di kawasan itu.
Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata sehingga 23 juta orang secara keseluruhan boleh terjejas akibat gempa bumi dan memerlukan bantuan jangka panjang.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata 77 pasukan perubatan kecemasan kebangsaan dan 13 antarabangsa sedang mengerahkan ke kawasan yang terjejas.
Dan Bank Dunia semalam, berkata pihaknya memberikan pinjaman kepada Turkiye sebanyak AS$1.78 bilion (RM7.71 bilion) untuk usaha bantuan dan pemulihan. -AFP