Ahad, 22 Januari 2023 | 7:44pm
Anggota pasukan penyelamat mencari mangsa yang terperangkap dalam kejadian runtuhan bangunan di bandar Aleppo, utara Syria awal pagi tadi. - FOTO AP
Anggota pasukan penyelamat mencari mangsa yang terperangkap dalam kejadian runtuhan bangunan di bandar Aleppo, utara Syria awal pagi tadi. - FOTO AP

16 maut dalam runtuhan bangunan di Aleppo, Syria

BEIRUT: Sekurang-kurangnya 16 orang, termasuk seorang kanak-kanak terkorban dalam runtuhan bangunan di kawasan kejiranan di bandar Aleppo, utara Syria, awal pagi tadi.

Bangunan lima tingkat itu menempatkan kira-kira 30 orang di kejiranan Sheikh Maksoud yang berada di bawah kawalan Pasukan Demokratik Syria pimpinan Kurdish yang disokong Amerika Syarikat (AS).

Kebocoran air dipercayai melemahkan struktur asas bangunan.

Puluhan anggota bomba, responden pertama dan penduduk diselubungi serpihan dan debu ketika mencari mangsa yang terselamat dalam runtuhan dengan menggunakan gerudi dan jentolak.

Beberapa ahli keluarga mangsa dilihat menunggu dengan cemas di kawasan berhampiran, manakala yang lain meratap di pintu masuk hospital berhampiran sebaik mayat tiba dengan ambulans dan di belakang trak.

Agensi berita di kawasan Kurdish, Hawar News, sebelum itu melaporkan tujuh orang terbunuh dan tiga lain cedera, dua daripadanya kritikal.

Kebanyakan bangunan di Aleppo musnah atau rosak ketika konflik Syria selama 11 tahun, yang mengorbankan ratusan ribu dan kehilangan separuh penduduknya.

Walaupun kerajaan Syria di bawah Presiden Bashar Assad berjaya merampas semula Aleppo daripada kumpulan penentang bersenjata, Sheikh Maksoud antara beberapa kawasan kejiranan yang dikawal tentera Kurdish.

Aleppo ialah bandar terbesar dan pernah menjadi pusat komersial Syria - AP

Berita Harian X