Ahad, 22 Januari 2023 | 9:05am
 NCM ramal kebanyakan wilayah Arab Saudi alami ribut petir hingga Khamis. - Foto ihsan Saudi Gazette
NCM ramal kebanyakan wilayah Arab Saudi alami ribut petir hingga Khamis. - Foto ihsan Saudi Gazette

Ribut petir diramal di banyak kawasan Arab Saudi hingga Khamis

RIYADH: Pusat Meteorologi Kebangsaan (NCM) meramalkan kebanyakan wilayah Arab Saudi mengalami ribut petir bermula hari ini hingga Khamis.

Menerusi laporan terkini, NCM menjangkakan hujan sederhana hingga lebat di wilayah Riyadh, Makkah, Al-Sharqiya, Al-Qassim, Asir, Al-Baha, Hail dan Jazan.

Keadaan itu disertakan dengan habuk aktif dan jarak ketampakan yang rendah.

Menurut NCM, hujan renyai hingga sederhana akan mula berlaku di kawasan sempadan utara, Makkah, Madinah mulai esok (Isnin).

Media pada 12 Januari lalu melaporkan suhu antara satu hingga lima darjah Celsius di Tabuk, Al-Jouf, kawasan sempadan utara, Hail dan kawasan utara Madinah.

Turut dilaporkan penduduk Qassim, Riyadh dan kawasan utara Wilayah Timur mengalami cuaca sejuk, dengan suhu di kawasan-kawasan berkenaan berada pada sekitar empat hingga tujuh darjah Celsius. - AGENSI

Berita Harian X