NEW DELHI: Suhu rendah dan kabus di New Delhi menjejaskan pergerakan udara dan kereta api pada pagi ini ketika gelombang sejuk mencengkam ibu negara India dengan suhu minimum merosot serendah 5.6 darjah Celsius.
Dengan jarak penglihatan hanya 50 meter di beberapa kawasan, Lapangan Terbang Delhi menggunakan Twitter untuk memaklumkan penumpang bahawa penerbangan yang tidak dilengkapi untuk beroperasi dalam keadaan sedemikian 'mungkin terjejas'.
Media tempatan melaporkan bahawa 15 kereta api ke Delhi juga lewat kerana kabus.
Jabatan Meteorologi India (IMD) dalam buletin berkata bahawa 'kabus tebal dan sangat padat' berkemungkinan berterusan di beberapa bahagian bandar itu dalam tempoh 24 jam akan datang disebabkan angin ringan dan paras lembapan yang tinggi.
"Keamatan dan penyebarannya (mungkin) akan berkurangan selepas itu," kata IMD.
IMD juga meramalkan keadaan gelombang sejuk di beberapa kawasan di negeri barat laut Punjab, Haryana dan Delhi dalam tempoh dua hari akan datang.
Gelombang sejuk diisytiharkan di dataran India apabila suhu minimum menurun kepada 4 darjah Celsius atau jatuh 4.5 darjah Celsius di bawah normal kepada 10 darjah Celsius atau lebih rendah. - REUTERS