Rabu, 2 November 2022 | 11:49am
Individu yang mencetuskan kebakaran ketika musim kebakaran hutan kini boleh dikesan secara elektronik mengikut undang-undang baharu yang dicadangkan di Australia Selatan. - Foto AFP
Individu yang mencetuskan kebakaran ketika musim kebakaran hutan kini boleh dikesan secara elektronik mengikut undang-undang baharu yang dicadangkan di Australia Selatan. - Foto AFP

Individu sengaja cetuskan kebakaran hutan boleh dikesan secara elektronik

CANBERRA: Individu yang mencetuskan kebakaran ketika musim kebakaran hutan kini boleh dikesan secara elektronik mengikut undang-undang baharu yang dicadangkan di Australia Selatan (SA), lapor Xinhua.

Undang-undang itu yang diperincikan oleh Peguam Negara, SA Kyam Maher sebelum membawanya ke Parlimen akan memberi kuasa kepada polis untuk mendapatkan perintah mahkamah, memaksa pelaku kebakaran yang didapati bersalah dengan sengaja memulakan kebakaran hutan sebelum ini memakai alat pengesan.

Polis sudah pun mengawasi mereka yang disabitkan atau disyaki membakar, namun Maher berkata, pengesanan elektronik akan dapat meningkatkan pengawasan ke atas pelaku yang mencetuskan risiko besar pada musim bahaya kebakaran yang lazimnya berlaku antara 1 November hingga April.

"Buat pertama kalinya sebaik sahaja undang-undang ini diluluskan, polis boleh memohon untuk memantau secara elektronik mereka yang pernah disabitkan kesalahan melakukan kebakaran hutan sebelum ini," katanya kepada pemberita.

Lebih 180 orang ditahan kerana didakwa memulakan kebakaran hutan di seluruh SA, Queensland, Tasmania, Victoria dan New South Wales pada 2019.

Sehingga tahun 2017 hingga 2018, polis SA sudah menjejaki lebih 200 orang yang sengaja memulakan kebakaran.

Maher berkata, undang-undang baharu itu hanya terpakai kepada pesalah paling berbahaya.

"Hanya sebahagian kecil orang menghadapi pertuduhan itu dan dijatuhkan hukuman setiap tahun, dan jumlahnya tidaklah besar, namun penguatkuasaan undang-undang itu disasarkan secara langsung kepada mereka yang paling berisiko," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X