MOSCOW: Angka kematian akibat serangan udara Israel di Semenanjung Gaza meningkat kepada 32, lapor Quds News Network pada Ahad, memetik kenyataan Kementerian Kesihatan Palestin, lapor Sputnik.
Pada Sabtu, Kementerian Kesihatan Palestin berkata sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh dan 203 yang lain cedera akibat serangan udara yang menyasarkan Semenanjung Gaza di bawah operasi 'Breaking Dawn' oleh Israel.
Seorang komander tertinggi Jihad Islam Palestin, Khaled Mansour, terbunuh dalam serangan udara Israel, kata sayap bersenjata kumpulan itu, Briged Al-Quds, manakala Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengesahkan kematian komander kanan Jihad Islam di utara Gaza, Tayseer Jabari.
Pada Jumaat, IDF melancarkan operasi digelar 'Breaking Dawn' terhadap gerakan Jihad Islam di Semenanjung Gaza. Ziyad Nakhalah, ketua Jihad Islam mengancam untuk bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Tel Aviv.
Israel sejak itu telah menangkis serangan peluru berpandu dan melancarkan serangan baharu ke atas Semenanjung Gaza.
Perdana Menteri Israel, Yair Lapid memberitahu pegawai kanan tentera-politik pada Sabtu bahawa negaranya akan terus bertindak tanpa teragak-agak, "untuk memastikan keamanan bagi rakyatnya." – BERNAMA