Ahad, 31 Julai 2022 | 7:33am
Kakitangan perubatan menyediakan suntikan vaksin cacar monyet di Pusat Perubatan Westchester di Valhalla, New York, Amerika Syarikat (AS). - Foto REUTERS
Kakitangan perubatan menyediakan suntikan vaksin cacar monyet di Pusat Perubatan Westchester di Valhalla, New York, Amerika Syarikat (AS). - Foto REUTERS

Jepun lulus vaksin cegah cacar monyet

TOKYO: Panel pakar Kementerian Kesihatan Jepun sudah meluluskan penggunaan vaksin cacar keluaran KM Biologic Co yang berpangkalan di Kumamoto untuk mencegah penyakit cacar monyet.

Vaksin cacar didapati mempunyai kadar keberkesanan kira-kira 85 peratus untuk mencegah cacar monyet, lapor Jiji Press.

KM Biologics ialah unit di bawah syarikat makanan dan farmaseutikal Jepun, Meiji Holdings Co.

Kementerian itu sudah memberi vaksin berkenaan kepada 50 pekerja perubatan di Pusat Kesihatan Kebangsaan dan Perubatan Global untuk tujuan penyelidikan.

Setakat Rabu lalu, lebih 18,000 orang di 78 negara dijangkiti virus itu, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang sudah mengisytiharkan wabak cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan global.

Sementara itu di Eropah, WHO Eropah menjangkakan lebih banyak kes kematian akibat cacar monyet ekoran laporan kematian pertama di luar benua Afrika.

Ramalan itu dibuat berdasarkan perkembangan semasa yang menunjukkan penularan cacar monyet terus berlipat ganda di Eropah.

Kementerian Kesihatan Sepanyol merekodkan kes kematian kedua cacar monyet semalam, sehari selepas Sepanyol dan Brazil melaporkan kematian pertamanya.

Pengumuman itu menandakan kematian pertama dikaitkan dengan penularan di luar Afrika.

Ketika kes meningkat di seluruh dunia, WHO juga meminta kumpulan paling terjejas iaitu golongan homoseksual untuk lebih berwaspada. - AGENSI

Berita Harian X