Jumaat, 22 Julai 2022 | 9:09pm
Gunung Arafah, lokasi umat Islam berpakaian ihram berhimpun untuk beribadat ketika kemuncak musim haji setiap tahun, dekat Makkah diceroboh wartawan bukan Islam warga Amerika Syarikat (AS). - Foto EPA
Gunung Arafah, lokasi umat Islam berpakaian ihram berhimpun untuk beribadat ketika kemuncak musim haji setiap tahun, dekat Makkah diceroboh wartawan bukan Islam warga Amerika Syarikat (AS). - Foto EPA

Arab Saudi tahan suspek bantu wartawan Israel ceroboh masuk Makkah

RIYADH: Polis menahan seorang lelaki warga Arab Saudi yang didakwa membantu orang bukan Islam memasuki Makkah, selepas netizen menyelar wartawan media Israel mengenai isu itu.

Isnin lalu, wartawan yang bertugas di Channel 13, Gil Tamary, memuat naik satu video di Twitter yang menunjukkan dirinya menyelinap masuk ke dalam Makkah, sekali gus melanggar larangan masuk bagi orang bukan Islam.

Polis Makkah merujuk seorang warga Arab Saudi untuk pendakwaan atas tuduhan bersubahat 'memindah dan memudahkan kemasukan wartawan (bukan Islam)', kata jurucakap polis seperti dilaporkan Agensi Berita Saudi (SPA).

SPA tidak menamakan wartawan berkenaan, namun memaklumkan lelaki itu adalah warga Amerika Syarikat (AS), dengan kesnya turut diserahkan kepada pendakwa raya untuk 'mengambil tindakan sewajarnya selaras peruntukan undang-undang.

Meskipun ada urusan belakang tabir membabitkan perniagaan dan hubungan keselamatan antara kedua-dua negara, Arab Saudi tidak mengiktiraf Israel dan tidak menyertai Perjanjian Abraham pada 2020, yang menyaksikan negara Yahudi itu menjalin hubungan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain.

Dalam video selama 10 minit itu, Tamary dilihat melawat Gunung Arafah, di mana umat Islam yang berpakaian ihram berhimpun untuk beribadat ketika kemuncak musim haji setiap tahun.

Beliau memaklumkan tahu apa yang dilakukannya salah, namun Tamary mendakwa mahu menunjukkan 'lokasi yang penting kepada saudara Islam'.

Bagaimanapun, alasan dan permohonan maaf Tamary selepas kejadian itu hanya mengundang kemarahan warga Arab Saudi di media sosial.

Kontroversi itu berlaku tidak lama selepas Presiden AS, Joe Biden, melawat Israel dan Arab Saudi minggu lalu. - AFP

Berita Harian X