X
Ahad, 10 Julai 2022 | 11:39am
Pengguna jalan raya meredah banjir di tengah Karachi, ibu negara Pakistan. - Foto REUTERS
Pengguna jalan raya meredah banjir di tengah Karachi, ibu negara Pakistan. - Foto REUTERS

Puluhan maut di Pakistan, Afghanistan akibat banjir

QUETTA: Banjir besar mengorbankan puluhan orang dan menyebabkan ratusan penduduk kehilangan tempat tinggal di Pakistan, ketika hujan monsun yang lebat melanda negara itu.

Menurut penasihat bencana dan hal ehwal dalam negeri kepada ketua menteri wilayah itu, Ziaullah Langove, di wilayah selatan Balochistan, 57 orang termasuk wanita dan kanak-kanak terbunuh selepas dihanyutkan arus deras.

Tambahnya, hujan lebat berterusan akibat bencana alam yang luar biasa kali ini turut mengakibatkan lapan empangan pecah.

Selain itu, ratusan penduduk kehilangan tempat tinggal selepas rumah mereka runtuh susulan hujan lebat dan banjir.

Menurut kenyataan rasmi daerah, di wilayah barat laut Khyber Pakhtunkhwa, dua orang termasuk seorang kanak-kanak berusia enam tahun maut manakala empat orang lagi cedera apabila rumah mereka runtuh akibat hujan lebat.

Hujan lebat yang melanda negara itu sejak beberapa hari lalu menyebabkan sebahagian besar bandar terbesar di Pakistan, Karachi, ditenggelami air.

Lembu untuk dijadikan korban sempena AidilAdha di Hyderabad, Pakistan. - Foto EPA
Lembu untuk dijadikan korban sempena AidilAdha di Hyderabad, Pakistan. - Foto EPA

Di negara jirannya, Afghanistan, 24 orang terbunuh akibat banjir di timur dan selatan negara itu, kata jurucakap agensi pengurusan bencana kelmarin.

Tentera Laut Pakistan berkata, pihaknya turut serta dalam usaha memindahkan mangsa banjir dan menghantar air bersih ke Balochistan.

Pada 2010, banjir terburuk melanda Pakistan dengan 20 juta penduduk terjejas. Kejadian itu turut mengakibatkan kerugian infrastruktur mencecah berbilion dolar dengan sebahagian besar tanaman musnah apabila 20 peratus negara itu ditenggelami air. - REUTERS

Berita Harian X