Jumaat, 3 Jun 2022 | 12:17pm
Pengembara menjalani ujian saringan COVID-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, kelmarin. - FOTO EPA
Pengembara menjalani ujian saringan COVID-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, kelmarin. - FOTO EPA

Korea Selatan mansuh kuarantin pengembara tiada vaksin mulai 8 Jun

SEOUL: Kerajaan Korea Selatan akan menarik balik peraturan kuarantin tujuh hari bagi pengembara dari luar negara yang tidak mengambil vaksin COVID-19, bermula Rabu minggu depan.

Perdana Menteri, Han Duck Soo ketika mengumumkan perkara itu, hari ini, berkata mereka bagaimanapun masih perlu menjalani ujian saringan 'polymerase chain reaction' (PCR) dalam tempoh tiga hari selepas tiba di Korea Selatan.

"Selain itu, sekatan penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon juga akan dimansuhkan sepenuhnya mulai 8 Jun ini. Kerajaan akan memastikan penerbangan dikendalikan selari dengan permintaan," katanya menurut laporan Agensi Berita Yonhap.

Menurut Kementerian Pengangkutan, langkah itu akan meningkatkan jumlah penerbangan ketibaan, kembali kepada tahap seperti sebelum pandemik COVID-19.

Langkah itu diambil susulan permintaan terhadap penerbangan antarabangsa meningkat sejak kerajaan menghapuskan peraturan penjarakan fizikal.

Duck Soo berkata, harga tiket penerbangan melambung disebabkan sekatan ke atas bilangan penerbangan antarabangsa serta perintah berkurung untuk ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon.

Ketika ini, tiada penerbangan ketibaan dibenarkan di lapangan terbang dari jam 8 malam hingga 5 pagi.

Kerajaan juga memutuskan untuk menarik balik had bilangan mingguan penerbangan antarabangsa mulai Rabu depan, bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Untuk permulaan, kementerian merancang menambah 100 hingga 300 lagi penerbangan setiap minggu secara berperingkat mulai Mei, dan penambahan hingga 50 peratus daripada paras sebelum pandemik menjelang akhir tahun ini. – BERNAMA

Berita Harian X