Selasa, 31 Mei 2022 | 12:00pm
Pekerja membuka penghadang di kawasan perumahan apabila bandar raya itu beralih ke fasa normal kawalan pandemik COVID-19 bermula esok. - Foto REUTERS
Pekerja membuka penghadang di kawasan perumahan apabila bandar raya itu beralih ke fasa normal kawalan pandemik COVID-19 bermula esok. - Foto REUTERS

COVID-19: Shanghai beralih ke fasa normal esok

SHANGHAI: Bandar raya ini akan beralih ke fasa normal kawalan pandemik COVID-19 bermula esok, dan membenarkan pusat beli-belah serta premis perniagaan dibuka semula.

Naib Datuk Bandar, Zong Ming, berkata laluan rel juga dibenarkan untuk beroperasi mengikut kapasiti normal dan jumlah penerbangan domestik ke bandar raya juga akan ditingkatkan.

Namun, katanya, pihak syarikat perlu melakukan pelarasan untuk menguruskan faktor kesesakan.

Beliau berkata, pengumuman itu turut menyaksikan orang awam di kawasan risiko rendah boleh kembali bekerja.

"Bagi kawasan awam, bagaimanapun masih perlu tertakluk kepada kapasiti 75 peratus dan orang ramai perlu menunjukkan keputusan negatif menerusi ujian RT-PCR yang dibuat dalam tempoh 72 jam lalu, sebelum memasuki kawasan," katanya.

Bandar raya itu mengumumkan perintah berkurung selama dua bulan berakhir semalam.

Shanghai mula beransur-ansur ke arah pembukaan semula selepas dua bulan penutupan akibat COVID-19.

Namun, Beijing sebaliknya terus mengekalkan sekatan yang dilakukan secara drastik walaupun bilangan kes menurun.

Shanghai menyasarkan menamatkan penutupannya bermula esok dengan membenarkan orang ramai keluar, perniagaan dibuka walaupun kebanyakan penduduk masih terkurung di kawasan perumahan mereka dan kebanyakan kedai terhad untuk membuat penghantaran.

Bagaimanapun, Timbalan Pengarah Suruhanjaya Kesihatan Perbandaran Shanghai, Zhao Dandan, menggesa agar terus berjaga-jaga walaupun sebahagian besar daripada 25 juta penduduknya tinggal di kawasan yang berada dalam kategori berisiko paling rendah.

Walaupun bilangan kes di seluruh negara bertambah baik, pematuhan ketat China terhadap sifar-COVID dilihat memusnahkan ekonomi kedua terbesar di dunia dan rantaian bekalan global serta mencemaskan pelabur.

Kesan ekonomi terbukti apabila keuntungan pada April di firma perindustrian tahunan jatuh 8.5 peratus dengan harga bahan mentah yang tinggi dan kekacauan rantaian bekalan yang disebabkan oleh sekatan COVID-19. - REUTERS

Berita Harian X