X
Jumaat, 13 Mei 2022 | 3:38pm
Orang ramai menjalani ujian saringan COVID-19 di Beijing, hari ini. - FOTO AFP
Orang ramai menjalani ujian saringan COVID-19 di Beijing, hari ini. - FOTO AFP

China nafi henti keluar pasport, batal kad pemastautin

BEIJING: Pihak berkuasa imigresen China masih menyediakan perkhidmatan untuk perjalanan ke luar negara yang diperlukan, sekali gus menafikan khabar angin bahawa pengeluaran pasport dihentikan dan kad pemastautin untuk tinggal di negara asing telah dibatalkan.

Menurut Pentadbiran Imigresen Nasional (NIA) dalam satu kenyataan, hari ini, pegawai terus memproses sijil dengan segera untuk mereka yang terpaksa ke luar negara atas keperluan serta urusan kecemasan seperti belajar, penyelidikan saintifik, perdagangan, perniagaan dan perubatan.

NIA mengulas laporan dikatakan oleh media asing, yang didakwanya sebagai palsu apabila menyatakan agensi itu menggantung pengeluaran pasport dan membatalkan kad pemastautin dikeluarkan negara asing kepada penduduk China yang layak untuk tinggal di luar negara.

Bagaimanapun, kenyataan NIA itu tidak menyertakan contoh laporan media terbabit.

Kenyataan itu menyusuli pengumuman NIA, semalam, bahawa ia akan 'mengehadkan secara ketat' perjalanan ke luar negara yang tidak perlu oleh penduduk China.

Langkah itu bertujuan meminimumkan risiko penularan COVID-19 akibat jangkitan dalam kalangan pengembara antarabangsa.

"Perkembangan pandemik ini masih tidak menentu dan wujud risiko besar untuk dijangkiti ketika melakukan perjalanan ke luar negara.

"Penduduk di China haruslah tidak melakukan perjalanan ke luar negara untuk tujuan tidak perlu dan bukan kecemasan," katanya dalam kenyataan, hari ini, yang disiarkan dalam media sosial. - REUTERS

Berita Harian X