Khamis, 5 Mei 2022 | 8:11pm
Gambar hiasan. - Foto REUTERS
Gambar hiasan. - Foto REUTERS

Pegawai polis India didakwa merogol mangsa rogol

LUCKNOW: Polis India menahan seorang pegawai yang didakwa merogol seorang remaja perempuan berumur 13 tahun dekat Uttar Pradesh, apabila mangsa mahu membuat laporan bahawa dia dirogol secara berkumpulan.

Perbuatan keji itu mencetuskan kemarahan di negara yang 'terkenal' dengan serangan seksual, pencabulan dan rogol terhadap wanita.

Ketua stesen polis pedalaman di Lalitpur, sebuah daerah yang terletak kira-kira 580 kilometer (km) di selatan New Delhi, adalah seorang daripada empat suspek yang diberkas semalam, kata seorang pegawai polis negeri.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati bersalah manakala mangsa rogol dimasukkan ke hospital daerah untuk rawatan," kata seorang pegawai polis kanan, Prashant Kumar, kepada Reuters hari ini.

Perbuatan itu terbongkar minggu ini selepas mangsa iaitu seorang remaja dari kasta rendah, berjaya membuat aduan kepada polis.

Dalam aduannya, remaja itu mendakwa dia dirogol secara berkumpulan oleh empat remaja lelaki yang membawanya ke negeri jiran pada 22 April lalu, tetapi dia berjaya melarikan diri daripada mereka beberapa hari kemudian.

Mangsa kemudian pergi ke balai polis pada 27 April lali bagi membuat aduan tetapi di dia dirogol lagi, kali ini oleh anggota polis.

Susulan tragedi itu, ahli politik dan aktivis menuntut langkah tuntas untuk melindungi wanita, termasuk ketua kanan Parti Kongres India, Priyanka Gandhi Vadra, dari parti blok pembangkang utama.

"Jika balai polis tidak selamat untuk wanita, mana lagi mereka boleh pergi untuk membuat aduan," katanya.

Kes rogol beramai-ramai seorang gadis dalam sebuah bas yang dipandu di sekeliling ibu negara India pada 2012 menyaksikan berlaku protes dan tunjuk perasan di serata negara itu.

Pada 2018, India menguatkuasakan hukuman mati bagi jenayah rogol kanak-kanak perempuan bawah umur 12 tahun, susulan tekanan awam selepas berlaku beberapa serangan terhadap golongan itu.

Walaupun terdapat undang-undang baharu yang diperketatkan, angka serangan terhadap golongan wanita kekal tinggi.

Data jenayah terkini kerajaan menunjukkan hampir 32,000 kes membabitkan rogol dan cubaan merogol dilaporkan di India pada 2020. - REUTERS

Berita Harian X