Isnin, 18 April 2022 | 4:54pm
Wanita memakai pelitup muka berjalan di daerah beli-belah di tengah-tengah pandemik COVID-19 di Seoul, Korea Selatan. - Foto REUTERS
Wanita memakai pelitup muka berjalan di daerah beli-belah di tengah-tengah pandemik COVID-19 di Seoul, Korea Selatan. - Foto REUTERS

Korea Selatan tarik balik langkah berjaga-jaga COVID-19

SEOUL: Korea Selatan menarik balik hampir kesemua langkah berjaga-jaga COVID-19 hari ini, dalam usaha untuk kembali kepada kehidupan normal.

Penarikan balik itu selepas varian Omicron mula surut dan jangkitan harian jatuh ke paras terendah bagi tempoh lebih dua bulan, iaitu kurang dari 50,000.

Sekatan beroperasi tengah malam terhadap restoran dan perniagaan lain turut dimansuhkan selain 10 orang dibenarkan berkumpul pada satu masa.

Bermula minggu hadapan, orang ramai dibenarkan memakan snek di dalam panggung wayang dan kemudahan awam tertutup yang lain seperti stadium.

Orang ramai masih perlu memakai pelitup muka, bagaimanapun kerajaan bercadang mengkaji semula keperluan untuk menarik balik peraturan pemakaian di tempat terbuka, kira-kira dua minggu lagi.

Kelonggaran peraturan itu selepas kes COVID-19 di Korea Selatan menurun kepada 47,743 hari ini, angka terendah sejak 9 Februari lalu.

Sesetengah peraturan bagaimanapun akan dikekalkan termasuk kuarantin wajib bagi pelancong yang masuk tanpa vaksin, selain ujian PCR negatif bagi mereka yang sudah divaksin sepenuhnya.

Setakat ini, Korea Selatan berjaya mengehadkan jumlah kematian dan kes kritikal menerusi vaksinasi meluas.

Hampir 87 peratus daripada 52 juta penduduknya sudah menerima vaksin penuh dan 64 peratus mendapat dos tambahan.

Seiring dengan pelonggaran peraturan itu, kebanyakan pekerja juga sudah kembali bekerja di pejabat.

Kebanyakan pekerja di syarikat gergasi pembuatan besi, POSCO mula bertugas di pejabat mulai bulan ini, menjadikannya antara firma utama yang pertama melakukan perkara itu.

LG Electronics berkata, ia mengurangkan jumlah pekerja yang bekerja dari rumah kepada 30 peratus daripada 50 peratus mulai hari ini, selain membatalkan had bilangan orang yang dibenarkan dalam mesyuarat.

Samsung Electronics berkata, ia masih belum melaksanakan pelan kembali ke pejabat dan sektor awam juga sedang menunggu garis panduan baharu oleh kerajaan.

Bank Korea, yang mempunyai 30 peratus kakitangan ibu pejabatnya yang bekerja dari rumah, sedang mempertimbangkan untuk melonggarkan garis panduannya.

Kerajaan mengesyorkan tempat kerja dengan 300 atau lebih pekerja menggunakan waktu kerja yang fleksibel dan mempunyai 10 peratus kakitangan bekerja dari rumah. - REUTERS

Berita Harian X