Sabtu, 16 April 2022 | 6:17pm
Vaksin Sinopharm khusus untuk Omicron telah mendapat kelulusan untuk ujian klinikal. - Foto AGENSI
Vaksin Sinopharm khusus untuk Omicron telah mendapat kelulusan untuk ujian klinikal. - Foto AGENSI

Vaksin Sinopharm khusus Omicron diluluskan untuk ujian klinikal

BEIJING: Dua jenis vaksin COVID-19 yang dibangunkan oleh unit China National Biotec Group (CNBG) untuk menyasarkan varian Omicron telah diluluskan bagi ujian klinikal sebagai dos penggalak di Hong Kong, menurut anak syarikat Sinopharm, hari ini.

CNBG dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua jenis vaksin mengandungi virus Omicron tidak aktif atau "dibunuh" dan sama seperti dua vaksin Sinopharm yang digunakan di China, akan diuji pada orang dewasa yang telah menerima dua atau tiga dos vaksin.

Bagaimanapun, ia tidak menyatakan produk vaksin mana yang akan diterima oleh peserta percubaan sebelum mengambil penggalak percubaan atau bilangan subjek yang akan diambil.

Kajian China menunjukkan bahawa dos keempat BBIBP-CorV, vaksin Sinopharm sedia ada tidak meningkatkan tahap antibodi dengan ketara terhadap Omicron apabila diberikan enam bulan selepas dos penggalak ketiga kepada dua dos biasa.

Walaupun dos keempat boleh membantu meningkatkan tahap antibodi ke sekitar paras puncak dos ketiga, penyelidik berkata, vaksin baharu akan menawarkan alternatif yang lebih baik sebagai penggalak masa hadapan.

Ketika ini, saintis di seluruh dunia berlumba-lumba untuk mengkaji vaksin yang boleh melawan Omicron kerana data menunjukkan bahawa antibodi yang ditimbulkan oleh vaksin berdasarkan rangkaian yang lebih tua menunjukkan aktiviti yang lebih lemah untuk meneutralkan varian yang sangat mudah ditularkan. - REUTERS

Berita Harian X