Sabtu, 9 April 2022 | 9:01am

Arab Saudi benarkan sejuta jemaah tunai haji tahun ini

RIYADH: Kerajaan Arab Saudi hari ini mengumumkan membenarkan sejuta jemaah haji dari dalam dan luar negara untuk melakukan ibadah itu bagi tahun ini.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi turut memaklumkan bahawa ibadah tahunan umat Islam ke Makkah tahun ini, adalah untuk mereka yang berumur bawah 65 tahun dan mereka sudah melengkapkan vaksin COVID-19 sepenuhnya, lapor agensi berita SPA.

Kementerian itu juga berkata, jemaah haji dari luar negara juga diwajibkan menunjukkan keputusaan negatif ujian PCR COVID-19 dalam tempoh 72 jam sebelum berlepas.

Kementerian turut mengingatkan keperluan jemaah haji untuk mematuhi langkah berjaga-jaga dan mengikuti semua arahan kesihatan semasa melaksanakan ibadah mereka.

Untuk rekod, Arab Saudi tahun lalu hanya membenarkan hanya 60,000 jemaah domestik meliputi warga negara dan warga asing yang berada di negara itu untuk menunaikan haji. - REUTERS

Berita Harian X