Jumaat, 1 April 2022 | 8:36pm
Seorang wanita memakai pelitup muka mengambil gambar teman lelakinya di taman sungai Han di Seoul, Korea Selatan di tengah-tengah penularan wabak COVID-19. - Foto REUTERS
Seorang wanita memakai pelitup muka mengambil gambar teman lelakinya di taman sungai Han di Seoul, Korea Selatan di tengah-tengah penularan wabak COVID-19. - Foto REUTERS

Korea Selatan mansuhkan kebanyakan sekatan COVID-19 bulan ini

SEOUL: Korea Selatan akan melonggarkan peraturan membabitkan penjarakan fizikal minggu depan, selain mungkin membatalkan kebanyakan sekatan berkaitan COVID-19 menjelang akhir bulan termasuk kewajipan menggunakan pelitup muka di luar rumah.

Menurut Menteri Kesihatan, Kwon Deok-cheol, bermula 4 April ini, operasi di kedai makan dan perniagaan lain akan dilanjutkan semula ke tengah malam.

Keputusan itu adalah langkah terbaharu Korea Selatan dalam melonggarkan peraturan COVID-19, selepas membatalkan kewajipan vaksin dan kuarantin mandatori untuk pengembara diberi vaksin yang tiba dari luar negara, walaupun gelombang Omicron berterusan.

Deok-cheol berkata, kerajaan akan mengkaji untuk memansuhkan sekatan, kecuali memakai pelitup muka di kawasan tertutup, jika bilangan kes harian terus menurun dan sistem perubatan untuk pesakit yang serius berjaya diuruskan secara stabil dalam tempoh dua minggu akan datang.

Agensi Pencegahan dan Kawalan Penyakit Korea (KDCA) melaporkan 280,273 jangkitan sehingga semalam, sekali gus menjadikan keseluruhan kes ialah 13,375,818, dengan 16,590 kematian.

Deok-cheol berkata, kes semakin meningkat sejak angka kemuncaknya pada pertengahan Mac hingga kes harian melepasi 620,000, walaupun ada kemungkinan kes kritikal dan kematian boleh meningkat lagi.

Peningkatan baru-baru ini khususnya membabitkan kes serius dan kematian menyebabkan pusat pengebumian sesak.

Deok-cheol berkata, bagi mengurangkan tekanan, kerajaan akan melonggarkan juga peraturan pengebumian dan menarik balik larangan mengebumikan mangsa COVID-19.

Korea Selatan sebahagian besarnya berjaya mengehadkan kematian dan kes kritikal melalui vaksinasi yang meluas, dan mengurangkan usaha pengesanan dan pembendungannya yang pernah dilaksanakan secara agresif, walaupun ujian masih dijalankan.

Menurut data KDCA, hampir 87 peratus daripada 52 juta populasi di Korea Selatan lengkap divaksin, manakala 64 peratus sudah menerima dos penggalak.

Penduduk Korea kini kelihatan lebih bersedia untuk melancong di mana tinjauan menunjukkan orang ramai semakin kurang bimbang mengenai kesan jangkitan virus, dan melihat pencegahannya adalah di luar kawalan mereka. - REUTERS

Berita Harian X