Rabu, 30 March 2022 | 7:39pm
Penduduk yang dikuarantin dilihat dalam perkarangan kediaman mereka di Shanghai, China, susulan peningkatan kes COVID-19 tanpa gejala yang semakin pantas merebak. - Foto EPA
Penduduk yang dikuarantin dilihat dalam perkarangan kediaman mereka di Shanghai, China, susulan peningkatan kes COVID-19 tanpa gejala yang semakin pantas merebak. - Foto EPA

Kes COVID-19 di Asia melepasi angka 100 juta

NEW DELHI: Jangkitan COVID-19 di Asia melepasi jumlah 100 juta kes hari ini selepas rantau itu merekodkan peningkatan semula kes yang didominasi oleh sub-varian BA.2 Omicron.

Berdasarkan analisis dibuat Reuters, rantau Asia melaporkan lebih sejuta kes COVID-19 baharu setiap dua hari.

Dengan lebih separuh daripada keseluruhan penduduk dunia, Asia menyumbang sebanyak 21 peratus daripada semua kes COVID-19 yang dilaporkan.

Negara seperti Korea Selatan, China dan Vietnam merekodkan paras tertinggi kes COVID-19 dalam beberapa minggu kebelakangan ini membabitkan subvarian BA.2 Omicron yang mempunyai kadar kebolehjangkitan tinggi, namun kurang membawa maut.

Berdasarkan maklumat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), BA.2 kini mewakili hampir 86 peratus daripada semua rantaian kes.

Menurut maklumat Reuters, Korea Selatan mendahului negara lain membabitkan purata kes baharu dengan menyumbang satu daripada setiap empat jangkitan yang dilaporkan secara global setiap hari.

Walaupun jumlah kes direkodkan meningkat sejak awal Mac, negara itu masih melaporkan lebih 300 kematian secara purata setiap hari, dengan pihak berkuasa mengarahkan pusat pengebumian di seluruh negara melanjutkan tempoh operasi.

Sementara itu, China pula dilihat cuba 'menjinakkan' wabak terburuk itu sejak bermulanya pandemik COVID-19.

Peningkatan kes COVID-19 di Shanghai, yang didorong oleh subvarian BA.2, menyebabkan hab kewangan itu menguatkuasakan perintah sekatan yang ketat.

Bandar itu melaksanakan dua peringkat perintah sekatan membabitkan 26 juta penduduknya pada Isnin lalu dengan menyekat pergerakan melalui jambatan dan lebuh raya untuk membendung penularan.

China melaporkan lebih 45,000 kes baharu sejak awal tahun ini, iaitu angka yang lebih tinggi daripada yang dilaporkan sepanjang tahun lalu.

Walaupun China sudah menyuntik vaksin bagi 90 peratus penduduknya, dengan warga emas turut menerima dos penggalak, ia tetap mendedahkan mereka kepada jangkitan semula.

Sebelum ini, China berpegang teguh dengan perancangannya untuk memusnahkan wabak itu, namun pakar di luar negara tetap ragu mengenai keberkesanan sekatan dalam menghadapi varian Omicron yang sangat mudah berjangkit.

Pakar Biostatistik dari Universiti Australia Selatan, Adrian Esterman, berkata negara lain sudah membuktikan penutupan tidak berkesan dalam menghalang penularan Omicron.

"Adalah jelas di Australia dan tempat lain di dunia bahawa penutupan tidak berkesan terhadap Omicron, justeru kita perlu menjangkakan gelombang besar akan datang," katanya.

Sementara itu, India pula menyumbang sebanyak 43 juta kes COVID-19 iaitu lebih daripada jumlah di tiga negara Asia yang paling teruk dilanda wabak itu iaitu di Jepun, Korea Selatan dan Vietnam.

India melaporkan kurang daripada 2,000 kes sehari selama 11 hari lalu berbanding jumlah paling tinggi tahun ini iaitu pada Januari lalu, membabitkan lebih 300,000 kes secara purata setiap hari.

Pada bulan ini saja, Asia melepasi sejuta kematian berkaitan COVID-19 iaitu membabitkan 1,027,586 juta kematian berkaitan wabak itu di seluruh benua ini.

Vaksin dianggap kurang berkesan terhadap subvarian BA.2 berbanding dengan varian sebelum ini.

Malah, kajian menunjukkan Omicron boleh menjangkiti semula orang yang sebelum ini didiagnosis dengan varian COVID-19 berbeza. - REUTERS

Berita Harian X