Isnin, 7 March 2022 | 9:56am
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

China digesa segera luluskan vaksin COVID-19 generasi kedua

CHINA: Seorang penasihat politik China menggesa kerajaan negara ini menggunakan vaksin COVID-19 generasi kedua yang dipertingkatkan kualiti dan keselamatan secepat mungkin, bagi meningkatkan tahap imunisasi nasional dan persediaan untuk pembukaan sempadan.

Gesaan itu dibuat ketika kadar imunisasi warga China yang sudah lengkap divaksin mencecah 87 peratus daripada keseluruhan populasinya.

Ahli Jawatankuasa Nasional Persidangan Perundingan Politik Rakyat China Ke-13 (CPPCC), Zhu Tao, mengusulkan supaya China mempercepat usaha memperkukuh tahap imuniti keseluruhan dengan menggunakan pelbagai jenis vaksin untuk dos penggalak menjelang tahun depan.

Saranan itu bagi mengaktifkan semula tahap antibodi terhadap virus dan strain mutasi COVID-19.

Zhu yang juga ketua saintis pengeluar vaksin CanSinoBIO, menyarankan penggunaan meluas vaksin COVID-19 yang dinyahaktifkan untuk memberikan asas imuniti yang kukuh bagi kebanyakan rakyat China.

Bagaimanapun, katanya, vaksin generasi kedua, antaranya vaksin yang diambil secara sedutan, mRNA atau vaksin khusus Omicron, diperlukan bagi memperkukuhkan lagi imuniti kelompok.

Jelasnya, syarat itu penting jika kerajaan China mahu menamatkan sekatan perjalanan global, kerana pembukaan sempadan secara cuai adalah berisiko disebabkan kesan COVID-19 masih membimbangkan ketika ini.

Dalam cadangannya, Zhu menyifatkan pembangunan vaksin COVID-19 China secara pantas menghasilkan lebih banyak jenis suntikan yang inovatif ke dalam ujian klinikal fasa satu dan dua, dengan kebanyakannya memiliki tahap keberkesanan lebih baik berbanding vaksin dinyahaktifkan tradisional.

"Jika China gagal mempercepat pengenalan vaksin ini dan hanya bergantung pada suntikan generasi pertama, kita berisiko hilang kelebihan dalam perang melawan pandemik pusingan kedua," katanya.

Zhu berkata, vaksin COVID-19 satu-satunya cara untuk majoriti rakyat China memiliki imunisasi, ketika lebih ramai penduduk di negara Barat dijangkiti Omicron akibat dasar antipandemik longgar, yang menjadi imuniti kedua selepas vaksinasi.

"Jadi, kita perlukan vaksin lebih kuat dengan kualiti lebih baik, serta menggunakan pelbagai jenis vaksin untuk skim dos penggalak," katanya.

Menurut Zhu, vaksin vektor adenovirus yang diambil secara sedutan dibangunkan CanSinoBIO, berada di peringkat ujian klinikal untuk digunakan sebagai dos penggalak.

Jelasnya, pengambilan vaksin secara sedutan itu menyerupai proses jangkitan semula jadi dan boleh merangsang imuniti mukosa pernafasan manusia, serta dijangka menjadi vaksin secara sedutan pertama yang diluluskan di China.

Dalam pada itu, vaksin khusus Omicron, vaksin mRNA tempatan dan vaksin semburan hidung sedang dibangunkan di China. - AGENSI

Berita Harian X