X
Selasa, 22 Februari 2022 | 12:25pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Temui sampel COVID-19 pada lembu beku, kulit babi import

HONG KONG: Pihak berkuasa Hong Kong menemui COVID-19 dalam sampel yang diambil daripada pembungkusan daging lembu beku import dari Brazil dan kulit babi beku dari Poland dengan berikrar untuk meningkatkan lagi pemeriksaan terhadap makanan import.

Hab kewangan global itu menggunakan strategi 'dinamik sifar COVID' sama seperti China, bertujuan membasmi sebarang wabak pada setiap genap dengan pihak berkuasa juga meletakkan waspada tinggi berikutan gelombang jangkitan baharu semakin sukar dikawal.

Jumlah jangkitan harian meningkat secara mendadak tahun ini dengan semalam merekodkan 7,533 kes, mengatasi kapasiti ujian, hospital dan kuarantin kerajaan.

Pusat Keselamatan Makanan (CFS) yang mengambil 36 sampel daripada 1,100 karton daging beku seberat 29 tan yang diimport dari Brazil melalui laluan laut untuk diuji mendapati, satu pembungkusan luar dan dua sampel pembungkusan dalam positif virus itu.

Turut dikumpul 12 sampel daripada kira-kira 300 karton kulit babi beku seberat tujuh tan yang diimport dari Poland yang juga melalui jalan laut.

Satu sampel pembungkusan dalaman diuji positif COVID-19.

"CFS mengarahkan pengimport itu untuk melupuskan daging lembu dan kulit babi terbabit, selain akan meningkatkan persampelan produk untuk ujian," kata pihak berkuasa dalam satu kenyataan semalam.

Hong Kong memantau import makanan sejuk beku bagi saringan COVID-19 sejak pertengahan 2020 dan mengesan sampel positif pada pembungkusan ikan bawal pada Ogos 2021 serta pembungkusan sotong pada November 2021.

Pihak berkuasa berkata, virus COVID-19 kebanyakannya disebarkan melalui titisan dan tidak boleh membiak dalam makanan atau pembungkusan makanan, malah tidak mungkin ia boleh berjangkit kepada manusia melalui makanan.

Namun begitu, mereka mengesyorkan orang ramai mengendalikan makanan mentah secara berasingan, mematuhi peraturan kebersihan dan memasak makanan dengan teliti.

Dengan pemeriksaan yang dipertingkatkan ke atas import makanan, Hong Kong sekali lagi mengikut jejak langkah China mengenai dasar COVID-19.

China mendakwa, pembungkusan makanan sejuk beku sebagai risiko penyebaran virus berkenaan - Agensi

Berita Harian X