Sabtu, 19 Februari 2022 | 7:05am
 Seorang wanita Afghanistan memangku anaknya ketika menunggu bantuan di luar pusat agihan bantuan UNHCR di Kabul, Afghanistan. - Foto fail REUTERS
Seorang wanita Afghanistan memangku anaknya ketika menunggu bantuan di luar pusat agihan bantuan UNHCR di Kabul, Afghanistan. - Foto fail REUTERS

Bank Dunia lulus pelan guna AS$1 bilion dana amanah Afghanistan

WASHINGTON: Bank Dunia meluluskan rancangan menggunakan kira-kira AS$1 bilion (RM4.19 bilion) daripada tabung amanah Afghanistan yang dibekukan untuk program pendidikan, pertanian, kesihatan dan keluarga, menurut kertas bank dan dua sumber.

Langkah itu dilihat sebagai satu rangsangan besar kepada usaha meredakan krisis kemanusiaan dan ekonomi negara yang semakin teruk.

Pelan yang digariskan dalam kertas yang dilihat oleh Reuters pada Jumaat adalah untuk memintas pihak berkuasa Taliban dengan mengagihkan dana dalam Tabung Amanah Pembinaan Semula Afghanistan (ARTF) yang ditadbir Bank Dunia melalui agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ia akan dibincangkan oleh Lembaga Bank Dunia pada 1 Mac, menurut sumber.

Penderma dana perlu memberikan kelulusan untuk mengeluarkan wang daripada tabung itu.

Langkah itu akan menyusuli kejayaan pengeluaran AS$280 juta (RM1.2 bilion) daripada dana amanah yang sama kepada Program Makanan Sedunia (WFP) dan agensi kanak-kanak PBB UNICEF untuk menyokong pemakanan dan kesihatan di Afghanistan sejak beberapa bulan lalu.

Menurut kertas Bank Dunia, rancangan itu adalah untuk "menyediakan lebih daripada AS$1 bilion sumber ARTF pada 2022."

Menyedari keadaan masih tidak berubah, pelan itu menyasarkan fleksibiliti dengan membuat empat pengeluaran berjumlah AS$600 juta (RM2.5 bilion) dan selebihnya "atas asas keutamaan" untuk sepanjang tahun ini.

Matlamatnya adalah untuk melindungi mereka yang terdedah, membantu memelihara modal insan dan institusi ekonomi dan sosial utama dan mengurangkan keperluan untuk bantuan kemanusiaan masa depan, menurut kertas Bank Dunia.

Bank itu meminta dana berkenaan digunakan untuk program keselamatan makanan, kesihatan dan pendidikan.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres bulan lalu menggesa baki AS$1.2 bilion (RM5.02 bilion) dana itu dikeluarkan untuk membantu rakyat Afghanistan menjalani kehidupan pada musim sejuk sambil menekankan: "Masa adalah penting

PBB memberi amaran hampir 23 juta orang iaitu kira-kira 55 peratus penduduk negara miskin itu berdepan risiko tahap kelaparan yang melampau dengan hampir sembilan juta berisiko kebuluran.

Berbilion dolar dalam rizab bank pusat Afghanistan, dana amanah yang ditadbir Bank Dunia dan bantuan kewangan asing dibekukan bagi mengelakkan ia jatuh ke tangan Taliban.

Kumpulan itu merampas kuasa pada Ogos lalu ketika tentera asing meninggalkan Afghanistan selepas perang berlangsung selama 20 tahun.

Perunding kanan kumpulan pemikir Kumpulan Krisis Antarabangsa, Graeme Smith, berkata rancangan Bank Dunia itu akan menyediakan wang yang sangat diperlukan dan pada masa sama berupaya mengelak campur tangan Taliban, yang pemimpinnya berada di bawah sekatan Amerika Syarikat (AS) dan PBB.

Pelan Bank Dunia menetapkan "syarat minimum untuk akses dan ekuiti" bertujuan untuk memastikan kanak-kanak perempuan dibenarkan ke sekolah, guru wanita boleh bekerja, wanita dimasukkan ke dalam majlis komuniti, isi rumah diketuai wanita menerima bantuan makanan dan pekerja kesihatan wanita dibenarkan bekerja.

Ia memerlukan kira-kira AS$150 juta (RM627 juta) untuk diagihkan melalui UNICEF kepada lebih 200,000 guru yang tidak dibayar lebih enam bulan.

Sebanyak AS$100 juta (RM418 juta) lagi akan diperuntukkan untuk meningkatkan daya tahan masyarakat, AS$150 juta hingga AS$200 juta (RM837 juta) untuk keselamatan makanan, dan AS$150 juta untuk program kesihatan.

AS minggu lalu mengumumkan rancangan untuk membenarkan separuh daripada AS$7 bilion (RM29 bilion) aset bank pusat Afghanistan yang dibekukan di Federal Reserve Bank of New York digunakan untuk membantu rakyat Afghanistan. Selebihnya adalah untuk memenuhi tuntutan undang-undang berkaitan keganasan terhadap Taliban. - REUTERS

Berita Harian X