Isnin, 14 Februari 2022 | 7:38am
 Foto hiasan
Foto hiasan

Operasi ragut 20 nyawa, pegawai polis, informan dihukum mati

BAGHDAD: Mahkamah Iraq menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang pegawai polis dan seorang pemberi maklumat berikutan satu operasi yang meragut nyawa 20 individu daripada satu keluarga pada Disember lalu.

Hukuman itu diputuskan mahkamah jenayah Babylon, namun sumber mahkamah memaklumkan kedua-dua lelaki itu masih boleh mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan.

Sumber memaklumkan, selain pemberi maklumat itu, seorang pegawai perisikan daripada Kementerian Dalam Negeri yang mengetuai operasi itu turut dikenakan hukuman mati.

Selain itu, 18 individu lain, termasuk orang awam dan anggota keselamatan yang terbabit dalam operasi berkenaan, sedang menunggu hukuman diputuskan.

"Mahkamah jenayah Babylon menjatuhkan hukuman gantung sampai mati kepada dua defendan. Defendan lain akan dibicarakan kemudian," kata Majlis Kehakiman Agung, seperti dilaporkan agensi berita INA.

Pada Disember lalu, pasukan keselamatan melepaskan tembakan terhadap sebuah rumah di kampung Al-Rashayed, Babylon, yang meragut 20 nyawa termasuk wanita dan kanak-kanak, atas alasan mengejar dua individu disyaki pengganas.

Namun, satu kenyataan mahkamah pada Januari memaklumkan, insiden itu sebenarnya berpunca daripada pergaduhan keluarga, yang mendorong pemberi maklumat itu memberi 'maklumat palsu' kepada polis dengan mengatakan terdapat dua pengganas di rumah berkenaan.

Menurut Amnesty International, Iraq merekodkan kadar hukuman mati keempat tertinggi di dunia, dengan lebih 50 individu menjalani hukuman itu pada 2020, termasuk sejumlah individu yang didakwa sebagai anggota DAESH.

Ketika ini, pertuduhan keganasan dan pembunuhan membawa kepada hukuman mati di Iraq. - AFP

Berita Harian X