Sabtu, 12 Februari 2022 | 8:19am
Suasana di pusat pertukaran mata wang di Kabul, Afghanistan. - Foto fail REUTERS
Suasana di pusat pertukaran mata wang di Kabul, Afghanistan. - Foto fail REUTERS

Jangkitan, kematian akibat demam campak melonjak di Afghanistan - WHO

GENEVA: Puluhan ribu warga Afghanistan dijangkiti demam campak yang meragut lebih 150 nyawa tahun lalu dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran lebih banyak kematian akan berlaku akibat penyakit itu.

Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu berkata, keadaan wabak itu cukup membimbangkan berikutan Afghanistan menghadapi masalah kekurangan makanan dan zat yang meruncing, menyebabkan kanak-kanak lebih terdedah kepada penyakit sangat berjangkit itu.

"Kes demam campak meningkat di semua wilayah sejak akhir Julai tahun lalu," kata jurucakap WHO, Christian Lindmeier kepada wartawan di Geneva.

Katanya, sejak kebelakangan ini kes terbabit meningkat 18 peratus pada 24 Januari lalu dan melonjak 40 peratus pada minggu akhir bulan lalu.

Menurut WHO, secara keseluruhan, 35,319 kes disyaki demam campak dan merekodkan 156 kematian antara 1 Januari 2021 hingga 29 Januari lalu.

Menurut Lindmeier, kira-kira 3,000 kes disahkan makmal dengan 91 peratus daripada kes dan 97 peratus daripada kematian membabitkan kanak-kanak bawah usia lima tahun.

Katanya, kematian berkaitan demam campak mungkin kurang dilaporkan dan jumlah sebenarnya dijangka jauh lebih tinggi.

"Peningkatan kes pada bulan lalu menunjukkan jumlah kematian akibat campak mungkin meningkat secara mendadak dalam beberapa minggu akan datang," katanya.

Demam campak adalah penyakit yang sangat berjangkit disebabkan oleh virus yang menyerang kebanyakan kanak-kanak dengan komplikasi paling serius termasuk hilang penglihatan, bengkak otak, cirit-birit dan jangkitan pernafasan yang teruk.

Lonjakan terbaharu dalam kes itu berlaku ketika Afghanistan berada dalam cengkaman krisis kemanusiaan, diburukkan apabila negara Barat membekukan bantuan antarabangsa dan akses dari luar negara susulan pengambilalihan kerajaan oleh Taliban pada Ogos tahun lalu.

PBB memberi amaran bahawa separuh penduduk negara itu diancam kebuluran.

"Kekurangan zat makanan melemahkan imuniti, menjadikan seseorang lebih terdedah kepada penyakit dan kematian seperti campak, terutamanya kanak-kanak," kata Lindmeier.

Katanya, perlindungan terbaik terhadap demam campak adalah vaksinasi meluas, dengan WHO mengesyorkan negara terbabit perlu memberikan perlindungan vaksinasi sekurang-kurangnya 95 peratus, bagaimanapun matlamat itu sukar dalam konteks Afghanistan.

Lindmeier berkata, WHO dan rakan kongsinya sudah berusaha untuk meningkatkan kapasiti pengawasan demam campak dan memberikan sokongan dalam melakukan ujian makmal dan kempen imunisasi.

Katanya, pada Disember lalu, kempen vaksinasi di kawasan paling teruk terjejas mencecah 1.5 juta kanak-kanak.

Mereka turut diberikan tambahan vitamin A yang penting untuk mengurangkan kesakitan dan kematian akibat demam campak dengan ia mencecah 8.5 juta kanak-kanak di seluruh negara pada kempen yang dilakukan November lalu.

Katanya, WHO sedang berusaha ke arah pelaksanaan vaksinasi demam campak secara besar-besaran menjelang Mei depan yang disasarkan melangkaui tiga juta kanak-kanak. - AFP

Berita Harian X