Isnin, 7 Februari 2022 | 5:39pm
Sempadan Australia kebanyakannya ditutup kepada bukan warganegara dan bukan pemastautin sejak Mac 2020. - Foto AFP
Sempadan Australia kebanyakannya ditutup kepada bukan warganegara dan bukan pemastautin sejak Mac 2020. - Foto AFP

Australia buka semula sempadan kepada pelancong 21 Februari ini

SYDNEY: Australia akan membuka semula sempadannya kepada pelancong mulai 21 Februari ini, menurut Perdana Menteri, Scott Morrison hari ini, sekaligus menamatkan beberapa sekatan perjalanan paling ketat dan paling lama di dunia.

"Sudah hampir dua tahun sejak kami mengambil keputusan untuk menutup sempadan ke Australia, sempadan akan dibuka semula kepada semua pemegang visa pada 21 Februari tahun ini.

"Jika kamu sudah divaksin dua kali, kami mengalu-alukan anda kembali ke Australia," katanya.

Sempadan Australia ditutup pada Mac 2020 dengan harapan ia dapat melindungi negara itu daripada wabak global yang semakin meningkat.

Dalam tempoh itu, rakyat Australia dilarang keluar dan hanya segelintir pelawat diberikan pengecualian untuk masuk ke negara itu.

Peraturan berkenaan menyebabkan warganegaranya terkandas di luar negara, mencetuskan masalah keluarga, menjejaskan industri pelancongan dan sering menimbulkan perdebatan hangat mengenai status Australia sebagai negara moden, terbuka dan berpandangan luar.

Setiap bulan penutupan sempadannya menyebabkan penambahan belanja perniagaan sebanyak AS$2.6 bilion (RM10.8 bilion), menurut Dewan Perniagaan dan Industri Australia.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, sekatan dilonggarkan secara berperingkat untuk rakyat Australia serta pelajar.

Keputusan terkini akan menyaksikan hampir semua sekatan yang ada akan ditarik balik.

Ia berlaku selepas dasar COVID-19 sifar terdahulu dimansuhkan, kadar vaksinasi meningkat dan sistem pengesanan berjaya pada suatu masa dulu, namun tergugat ekoran gelombang varian Omicron.

Hanya segelintir negara yang masih ditutup kepada pelancong antaranya Jepun, China, New Zealand dan beberapa negara di kepulauan Pasifik.

Bagi sektor pelancongan Australia, yang bergelut selepas bilangan pelawat menurun hampir 98 peratus berbanding tahap awal pandemik, perkembangan itu satu berita gembira.

"Kami sangat teruja selepas ia dapat dibuka semula. Beberapa tahun kebelakangan ini amat sukar bagi kami," kata Pengarah Urusan Kumpulan Quicksilver, Tony Walker, yang mengendalikan industri pelayaran, menyelam dan pusat peranginan.

Ketika pandemik melanda, firmanya terpaksa mengurangkan bilangan kakitangannya daripada 650 pekerja kepada 300 pekerja hari ini.

Walker berkata, dia menjangkakan akan mengambil sedikit masa untuk pulih selepas terjejas sejak dua tahun lalu.

Banyak pengendali pelancongan di sekitar Australia mengalami kekurangan kakitangan, ekoran penurunan jumlah pengembara dan pelancong ke Australia.

Biarpun sekatan ditarik balik, perjalanan dalam Australia masih dihadkan, dengan wilayah Australia Barat yang kekal ditutup kepada bukan pemastautin.

Pada masa ini, perjalanan lebih mudah dari Sydney ke Paris berbanding Sydney ke Perth. - AFP

Berita Harian X