Ahad, 6 Februari 2022 | 2:04pm
Penyanyi popular Bollywood, Lata Mangeshkar meninggal dunia ketika berusia 92 tahun. FOTO AFP
Penyanyi popular Bollywood, Lata Mangeshkar meninggal dunia ketika berusia 92 tahun. FOTO AFP

Penyanyi Lata Mangeshkar meninggal dunia

MUMBAI: Bintang Bollywood, Lata Mangeshkar yang terkenal dengan kelunakan suaranya dalam sebahagian besar filem Hindi, meninggal dunia pagi tadi pada usia 92 tahun.

Beliau meninggal dunia di hospital di sini selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak 11 Januari lalu dengan gejala COVID-19.

Mangeshkar yang lahir pada tahun 1929, memulakan karier seninya pada usia lima tahun hasil latihan bapanya, Deenanth.

Beliau kemudian terpaksa memikul tanggungjawab menyara empat beradik dan keluarganya pada usia 13 tahun selepas bapanya meninggal dunia sebelum berpindah ke Mumbai pada tahun 1945.

Sebaik berpindah, Mangeshkar meneruskan karier nyanyiannya, merakam suara untuk digunakan pelakon dan kebolehannya bernada tinggi menjadikan resipi wajib filem terlaris Bollywood.

Mendiang pernah dijemput kerajaan bagi menyanyikan lagu patriotik sebagai penghormatan kepada anggota tentera yang terbunuh dalam perang Indo-China pada tahun 1962.

Cara nyanyiannya yang membawa lagu 'Oh the People of my Country' berupaya menitiskan air mata Perdana Menteri ketika itu, Jawaharlal Nehru.

Bersama adiknya, Asha Bhonsle, Mangeshkar mendominasi senario muzik Bollywood lebih separuh abad dan disifatkan sebagai penyanyi lagenda oleh sebahagian besar penggiat seni India.

Beliau juga terkenal dengan sifatnya yang sering menyanyi tanpa memakai kasut dan menulis sendiri bait lirik sebelum merakamnya.

Pada tahun 2001, Mangeshkar dianugerahkan Bharat Ratna, pengiktirafan tertinggi untuk orang awam oleh kerajaan India selain pernah menerima anugerah France's Legion d'Honneur pada tahun 2009 sebagai penghormatan di atas sumbangannya dalam industri muzik dan filem India. - AFP

Berita Harian X