Khamis, 6 Januari 2022 | 3:31pm
Jepun dan Australia menandatangani perjanjian memperkukuhkan hubungan pertahanan bagi menyumbang kepada kestabilan rantau ketika China mengembangkan pengaruh ketenteraan serta ekonominya. - Foto AFP
Jepun dan Australia menandatangani perjanjian memperkukuhkan hubungan pertahanan bagi menyumbang kepada kestabilan rantau ketika China mengembangkan pengaruh ketenteraan serta ekonominya. - Foto AFP

Jepun, Australia tandatangan perjanjian pertahanan awasi China

TOKYO: Jepun dan Australia menandatangani perjanjian memperkukuhkan hubungan pertahanan bagi menyumbang kepada kestabilan rantau ketika China mengembangkan pengaruh ketenteraan serta ekonominya.

Biarpun Perdana Menteri Australia, Scott Morrison, tidak menyebut Beijing secara langsung menerusi kenyataan yang dikeluarkan sejurus majlis tandatangan itu, perjanjian terbabit dilihat sebagai tindakan menyuarakan kebimbangan terhadap China.

Malah, menjelang acara berkenaan bersama rakan sejawatnya dari Jepun, Fumio Kishida, Morrison menyifatkan perjanjian itu sebagai komitmen dua negara untuk bekerjasama dalam mendepani cabaran keselamatan strategik bagi mempertahankan kestabilan Indo-Pasifik.

"Perjanjian ini buat pertama kali menjelaskan rangka kerja dalam memperkasakan kerjasama antara dua pasukan keselamatan.

"Kerjasama ini juga mencerminkan nilai kebersamaan, komitmen ke arah demokrasi dan hak asasi manusia serta kepentingan bersama di rantau Indo-Pasifik yang bebas, terbuka dan berdaya tahan," katanya.

Jepun, Australia bersama Amerika Syarikat (AS) dan India tergolong dalam kumpulan yang bekerjasama membina pakatan dalam menghadapi kehadiran pengaruh China yang semakin meningkat di seluruh Asia, termasuk ancamannya terhadap garisan sempadan perairan antarabangsa.

Penganalisis kanan Kumpulan Eurasia, Ali Wyne, berkata perjanjian terbabit berupaya memperkasa keupayaan Tokyo dan Canberra menjalankan misi serta latihan ketenteraan secara bersama di Jepun serta AS.

"Ia mengorak langkah ke arah mengukuhkan bentuk yang boleh diambil dalam kerjasama keselamatan antara Jepun dan Australia.

"China pula berkemungkinan akan menjadikannya sebagai bukti bahawa negara demokrasi perindustrian maju berusaha untuk menghalang kebangkitannya, walaupun tingkah laku Beijing sendiri dalam beberapa tahun kebelakangan ini menyumbang kepada pengasingan diplomatiknya," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perjanjian terbabit, jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin, berkata Laut Pasifik amat luas untuk pembangunan bersama negara di rantau berkenaan.

"Pertukaran dan kerjasama antara negara seharusnya kondusif dalam meningkatkan persefahaman serta kepercayaan antara negara di rantau ini dalam menjaga keselamatan dan keamanan berbanding hanya menyasarkan kepentingan mana-mana pihak ketiga.

"Kami berharap Laut Pasifik yang luas ini akan menjadi perairan yang aman, bukan bertukar menjadi gelombang yang kuat," katanya. - AFP

Berita Harian X