Rabu, 5 Januari 2022 | 12:02pm
Penduduk Sydney beratus di pusat ujian saringan COVID-19 yang dibiayai kerajaan. - Foto EPA
Penduduk Sydney beratus di pusat ujian saringan COVID-19 yang dibiayai kerajaan. - Foto EPA

Sistem kesihatan Australia tertekan peningkatan kes COVID-19

SYDNEY: Sistem kesihatan Australia terus berdepan tekanan apabila bilangan kes jangkitan baharu COVID-19 mencecah rekod untuk hari ketiga berturut-turut, sekali gus membebankan hospital dan melampaui kemudahan ujian saringan virus itu.

Hampir 53,000 kes baharu dilaporkan di seluruh New South Wales dan Victoria, negeri paling ramai penduduk di Australia, dengan kedua-duanya mencatatkan paras kes baharu tertinggi sehari dan melebihi jumlah sekitar 47,800 kes di peringkat nasional.

Individu yang dimasukkan ke hospital di kedua-dua negeri itu juga meningkat 10 peratus berbanding sebelumnya, dan pihak berkuasa terus memberi amaran jumlah itu akan meningkat lagi dalam beberapa minggu akan datang.

"Kita mempunyai beberapa minggu yang mencabar di hadapan," kata Timbalan Setiausaha Kesihatan New South Wales, Susan Pearce kepada media.

Perdana Menteri Australia, Scott Morrison, yang berada di bawah tekanan yang semakin meningkat kerana kelewatan melaksanakan ujian saringan COVID-19 dan kekurangan stok kit ujian kendiri, dijangka akan bertemu dengan pemimpin negeri dan wilayah bagi mengambil langkah untuk meredakan krisis itu.

Lonjakan kes jangkitan COVID-19 dalam beberapa minggu kebelakangan ini, didorong oleh varian Omicron, menyebabkan orang ramai segera membuat ujian reaksi rantai polimerase (PCR) di pusat kemudahan kesihatan yang dibiayai kerajaan.

Itu mendorong pihak berkuasa meminta orang ramai hanya mendapatkan ujian PCR jika menunjukkan simptom, yang seterusnya menyebabkan kekurangan kit ujian antigen pantas (RTK), yang boleh digunakan di rumah tetapi perlu dibeli secara persendirian.

Morrison, yang perlu mengadakan pilihan raya Persekutuan sebelum Mei ini, bagaimanapun menolak pemberian subsidi sebahagian besar kit ujian di rumah.

Pegawai New South Wales berkata, mereka memperoleh berjuta-juta kit ujian RTK dan mendesak kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan persetujuan untuk memberi subsidi kepada mereka. Negeri Victoria juga mengarahkan penambahan 10 juta kit ujian RTK dengan kumpulan pertama akan tiba dalam masa terdekat.

Australia merekodkan lebih 600,000 kes dan 2,290 kematian sejak wabak itu bermula awal 2020, dengan lebih separuh daripada jangkitan itu dilaporkan sejak dua minggu lalu. - REUTERS

Berita Harian X