Jumaat, 31 Disember 2021 | 8:35am
Kakitangan perubatan bertugas di wad baharu pengasingan COVID-19 dilengkapi bekalan oksigen di sebuah hospital di Chennai, India. - Foto AFP
Kakitangan perubatan bertugas di wad baharu pengasingan COVID-19 dilengkapi bekalan oksigen di sebuah hospital di Chennai, India. - Foto AFP

COVID-19 melonjak kembali di India

NEW DELHI: Pihak berkuasa India memperketatkan semula langkah kawalan COVID-19 bermula semalam susulan peningkatan ketara kes jangkitan.

Antara lain, perhimpunan besar-besaran dan pesta di tempat awam menjelang perayaan Tahun Baru dilarang sama sekali.

Sementara itu, perintah berkurung pada waktu malam dilaksanakan di semua bandar utama manakala restoran pula diarah mengehadkan bilangan pelanggan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa negeri mendapati sukar untuk mengawal kesesakan di pasar, pusat keagamaan dan destinasi percutian kerana kawasan berkenaan dibenarkan untuk terus dibuka.

Menurut Kementerian Kesihatan Persekutuan India, negara itu melaporkan 13,154 kes baharu COVID-19 dan 268 kematian dalam tempoh 24 jam, sementara pusat bandar juga melaporkan lonjakan besar.

Kes baharu itu adalah jumlah jangkitan harian tertinggi sejak Oktober lalu manakala jangkitan varian Omicron pula meningkat kepada 961 kes di seluruh India.

Menteri Kesihatan Maharashtra, Rajesh Tope, berkata perhimpunan sosial yang dibenarkan seperti biasa menyebabkan orang ramai melanggar semua arahan penjarakan fizikal.

Polis di ibu negara, Mumbai, melarang sebarang perhimpunan awam membabitkan lima atau lebih penduduk sehingga 7 Januari tahun depan.

Arahan itu dibuat susulan India mencatatkan lonjakan mendadak kes harian coronavirus dengan 2,510 jangkitan iaitu peningkatan harian tertinggi sejak Mei tahun ini. - AGENSI

Berita Harian X