Selasa, 21 Disember 2021 | 4:47pm
Richard Daschbach didapati bersalah kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak di Timur Timor. - Foto AFP
Richard Daschbach didapati bersalah kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak di Timur Timor. - Foto AFP

Bekas paderi bersalah penderaan seks

OECUSSE, TIMUR LESTE: Seorang paderi Amerika hari ini dijatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun, selepas melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak di pusat perlindungan Timor Leste, dalam satu kes yang menyebabkan tentangan hebat di negara beragama Katolik itu.

Sekurang-kurangnya 15 wanita menuduh Richard Daschbach, 84, mendera mereka secara seksual ketika masih kanak-kanak, di tempat perlindungannya di Oecusse, dengan kemungkinan terdapat ramai lagi mangsa.

Panel hakim mendapati bekas paderi itu bersalah atas beberapa jenayah seks di pusat perlindungan itu, yang diasaskannya pada awal 1990-an dan menempatkan ratusan anak yatim serta kanak-kanak miskin.

Mereka menjatuhkan hukuman penjara selama 37 tahun, namun ketua hakim, Yudi Pamungkas bersetuju hukuman itu dikurangkan mengambil kira faktor usianya.

Daschbach berada di bawah tahanan rumah ketika perbicaraan dan hakim mengarahkan hukuman penjara serta-merta, bagi mengelak cubaan melarikan diri.

Mahkamah juga mengarahkan pihak berkuasa Timor Leste membayar pampasan kewangan kepada mangsa.

Daschbach berpindah ke Timor Leste pada pertengahan 1970-an, dan pernah mendapat penghargaan atas kerja amalnya di negara itu.

Beliau dipecat Vatican pada 2018, namun butiran dakwaan penderaan seksnya hanya didedahkan pada tahun berikutnya, apabila kes itu dilaporkan oleh media tempatan.

Pegawai Katolik di ibu kota Dili memaklumkan, Daschbach dipecat tahun ini kerana dia sudah mengaku melakukan jenayah kejam itu.

Namun, Daschbach masih memperoleh sokongan meluas di negara Katolik itu, termasuk di kalangan beberapa elit politik ekoran sokongannya terhadap gerakan kemerdekaan Timor Leste sebelum ini.

Ramai penduduk di Timor Leste meragui dakwaan penderaan itu, dengan kebanyakan mangsa yang mendakwa tidak mahu dikenali kerana bimbang akan menerima balasan.

Pada Ogos lalu, Daschbach juga didakwa di Amerika Syarikat (AS) kerana penderaan seksual kanak-kanak bawah umur. - AFP

Berita Harian X