Jumaat, 10 Disember 2021 | 5:42pm
Penyelidik Sekolah Perubatan di Universiti Tsinghua, Prof Zhang Linqi, menunjukkan dua ubat antibodi monoklonal bagi rawatan COVID-19 di Beijing, China. - Foto AFP
Penyelidik Sekolah Perubatan di Universiti Tsinghua, Prof Zhang Linqi, menunjukkan dua ubat antibodi monoklonal bagi rawatan COVID-19 di Beijing, China. - Foto AFP

China lulus rawatan antibodi monoklonal bagi COVID-19

BEIJING: Pentadbiran Produk Perubatan Kebangsaan China memberi kelulusan kecemasan untuk rawatan antibodi monoklonal bagi jangkitan COVID-19.

Terapi khusus untuk pesakit coronavirus itu terbukti berkesan mengurangkan gejala lebih serius, kadar kemasukan ke hospital dan kematian.

Keputusan Jabatan Pengawalan dan Penyeliaan Perubatan Negara (NMPD) itu dibuat selepas pihak berkuasa kesihatan di seluruh dunia memberi lampu hijau kepada rawatan berkenaan, yang mengutamakan golongan berisiko tinggi.

Menurut Undang-undang Kawalan Perubatan, kedua-duanya boleh digunakan untuk merawat kes coronavirus bagi pesakit dewasa dan remaja (12-17 tahun dengan berat menyamai atau lebih 40 kilogram).

Antibodi monoklonal adalah sejenis protein yang melekat pada pepaku protein coronavirus dan mampu mengurangkan keupayaan virus itu menceroboh sel badan.

Rawatan itu membabitkan gabungan dua jenis ubatan yang diberikan menerusi suntikan itu dibangunkan oleh Universiti Tsinghua dengan kerjasama Hospital Third People, Shenzhen dan Brii Biosciences.

Permohonan pendaftaran dua jenis ubat rawatan iaitu cecair suntikan BRII-196 dan BRII-198 oleh Teknologi Perubatan Tengshenghuachuang Sdn Bhd (Beijing), anak syarikat Brii Biosciences, diluluskan NMPD Rabu lalu.

Difahamkan, ini juga adalah kali pertama ubat rawatan meneutralkan antibodi COVID-19 diluluskan untuk pendaftaran hak cipta harta intelek.

Data percubaan menunjukkan gabungan terapi boleh mengurangkan kadar kemasukan ke hospital dan kematian sehingga kira-kira 80 peratus dalam kalangan golongan berisiko tinggi.

China adalah negara terbaru yang meluluskan rawatan berkenaan selepas Britain dan Eropah turut mengambil langkah sama.

Rawatan itu secara tidak langsung memberi satu lagi alternatif mencegah komplikasi jangkitan COVID-19 yang serius. - AGENSI

Berita Harian X