Khamis, 9 Disember 2021 | 3:28pm

China beri kelulusan kecemasan rawatan khusus COVID-19

BEIJING: Pihak berkuasa ubat-ubatan China memberi kelulusan kecemasan kepada rawatan khusus yang pertama di negara ini untuk COVID-19.

Rawatan itu dikenal pasti hasil pelaksanaan ujian klinikal bagi mengurangkan secara ketara kemasukan ke hospital dan kematian dalam kalangan pesakit berisiko tinggi.

Dalam satu notis rasmi dikeluarkan, semalam, Pentadbiran Produk Perubatan Nasional China mengumumkan pihaknya telah memberi kelulusan kecemasan untuk rawatan antibodi monoklonal.

Antibodi monoklonal adalah sejenis protein yang melekat pada protein pepaku COVID-19, sekali gus mengurangkan keupayaannya untuk memasuki sel badan manusia.

Katanya, rawatan itu membabitkan gabungan dua ubat yang diberi secara suntikan, serta boleh digunakan untuk merawat kes tertentu yang berisiko menjadi semakin teruk.

Ia dibangunkan bersama oleh Universiti Tsinghua, The Third People's Hospital of Shenzhen dan Brii Biosciences.

Menurut Universiti Tsinghua dalam satu kenyataan melalui media sosial, malam tadi, data percubaan menunjukkan terapi gabungan itu mampu mengurangkan hingga kira-kira 80 peratus risiko kemasukan ke hospital serta kematian dalam kalangan pesakit berisiko tinggi.

China ialah antara negara terkini meluluskan rawatan sedemikian, manakala pengawal selia Britain memberi kelulusan untuk satu rawatan antibodi pada minggu lalu.

Selain itu, pihak berkuasa kesihatan Kesatuan Eropah (EU) juga meluluskan penggunaan kecemasan untuk pil - membabitkan ubat antiviral yang berupaya mengurangkan kapasiti virus berkenaan untuk membiak dalam badan. - AFP

Berita Harian X