Selasa, 30 November 2021 | 3:25pm
Gambar hiasan - FOTO AFP
Gambar hiasan - FOTO AFP

Perancis keluarkan waran tangkap 'penculikan oleh ibu bapa' di Jepun

TOKYO: Pihak berkuasa Perancis dilapor mengeluarkan waran tangkap ke atas seorang wanita Jepun yang dua anaknya didakwa disembunyikan daripada bapa mereka, dalam kes yang mencetuskan perdebatan mengenai 'penculikan oleh ibu bapa' di negara ini.

Warga Perancis yang juga bapa kanak-kanak terbabit, Vincent Fichot - seorang penduduk di Jepun - menarik perhatian antarabangsa apabila berusaha menghubungi semula anak lelaki dan perempuannya yang beliau dakwa diculik oleh ibu mereka pada 2018.

Pihak berkuasa Perancis mengeluarkan waran antarabangsa atas dakwaan 'penculikan oleh ibu bapa' serta membahayakan kanak-kanak bawah umur, menurut sumber yang rapat dengan isu berkenaan dan Fichot.

Kedutaan Perancis bagaimanapun enggan mengulas mengenai kes berkenaan.

Undang-undang Jepun tidak memperuntukkan perkongsian hak penjagaan anak apabila ibu bapa berpisah, justeru pihak berkuasa sekian lama dituduh sekadar 'memejamkan mata' apabila salah seorang ibu atau bapa menafikan akses oleh sebelah pihak lagi terhadap anak mereka.

Fichot dilapor melancarkan mogok lapar selama tiga minggu ketika temasya Sukan Olimpik di Tokyo, awal tahun ini, bagi menarik perhatian terhadap kesnya.

Beliau mendakwa menerima sokongan daripada ibu bapa di Jepun dan asing yang menghadapi keadaan sama.

Fichot juga menyertai ibu bapa lain untuk membawa aduan terhadap Jepun atas isu itu, kepada badan hak asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Seorang peguam kepada ibu kanak-kanak terbabit yang masih berstatus isteri Fichot, dilaporkan enggan memberi komen mengenai waran berkenaan.

"Prosiding perceraian sedang diteruskan. Kita tidak mahu bertelagah di luar mahkamah," katanya kepada AFP.

Kes Fichot itu dilapor pernah dibangkitkan kepada pegawai Jepun oleh Presiden Perancis, Emmanuel Macron, ketika beliau mengadakan lawatan ke negara ini sempena Sukan Olimpik.

Walaupun tiada sebarang angka rasmi, kumpulan hak asasi menganggarkan kira-kira 150,000 kanak-kanak bawah umur berpisah secara paksa dengan ibu atau bapa mereka di Jepun, setiap tahun. - AFP

Berita Harian X