Isnin, 29 November 2021 | 7:07pm
Kakitangan di pintu pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda di Tokyo, kelihatan lengang selepas Jepun mengumumkan penutupan sempadan antarabangsa. - Foto AFP
Kakitangan di pintu pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda di Tokyo, kelihatan lengang selepas Jepun mengumumkan penutupan sempadan antarabangsa. - Foto AFP

Jepun tutup sempadan kerana varian COVID-19 Omicron

TOKYO: Jepun menyertai negara lain menyekat semua kemasukan pelancong asing bagi membendung penularan varian baharu COVID-19, Omicron.

Kerajaan negara itu adalah yang terbaru mengambil langkah mengetatkan kawalan sempadan dengan menyekat semua ketibaan pelawat asing, hanya beberapa minggu selepas membenarkan pemegang visa tertentu memasuki negara itu.

Perdana Menteri, Fumio Kishida, berkata negara itu berada dalam kedudukan yang lebih kuat terhadap varian Omicron berbanding negara lain, merujuk kepada keberkesanan pemakaian pelitup muka secara sukarela dan kawalan kendiri.

Varian itu juga menimbulkan kebimbangan kepada Australia, yang sebelum ini mahu mempertimbangkan pembukaan semula sekatan sempadan dalam masa dua hari, namun sudah mengesan tiga kes positif varian Omicron setakat ini.

Ia dikesan pada penumpang yang menaiki penerbangan dari selatan Afrika ke Australia, yang mana dua daripada mereka mendarat di Sydney dan seorang di utara bandar Darwin.

Perdana Menteri Australia, Scott Morrison, dilihat keberatan untuk melaksanakan semula sekatan penutupan sempadan ketat seperti yang dilaksanakan awal tahun ini.

"Kita bukan hanya perlu belajar untuk hidup bersama COVID-19, tetapi perlu belajar untuk hidup bersama variannya juga," katanya.

Ketika ini, ketidakpastian menyelubungi ramai mengenai tahap penularan Omicron dan sejauh mana ia tahan terhadap vaksin sedia ada.

Sebuah hospital berprestij di Rom, Hospital Bambino Gesu semalam mengeluarkan 'imej' pertama strain baharu itu dan mengesahkan lebih banyak mutasi daripada yang dilihat dalam varian Delta, namun menyatakan ia tidak bererti ia lebih berbahaya. - AFP

Berita Harian X