Khamis, 25 November 2021 | 7:51pm
Hukuman mati jarang dilakukan di India, tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, India telah melaksanakan beberapa dua hukuman gantung. - Foto AFP
Hukuman mati jarang dilakukan di India, tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, India telah melaksanakan beberapa dua hukuman gantung. - Foto AFP

Hukuman mati pesalah rogol diringankan kepada penjara seumur hidup

MUMBAI: Mahkamah Tinggi Mumbai hari ini meringankan hukuman mati yang dijatuhi terhadap tiga lelaki disabitkan kesalahan kes merogol, sekali gus mencetuskan kemarahan orang awam terhadap keselamatan wanita di India.

Serangan berlaku pada 2013 disusuli satu lagi kes rogol berkumpulan yang diklasifikasi berprofil tinggi pada tahun sebelumnya, menyaksikan seorang wanita ditemui mati di New Delhi sehingga mencetuskan bantahan di seluruh negara itu.

Ia mendorong pelaksanaan lebih ketat undang-undang antirogol.

Tiga lelaki di Mumbai bersama dua rakan sejenayah memerangkap dan merogol berulang kali wanita berusia 22 tahun, iaitu seorang wartawan fotografi ketika itu sedang bertugas di kawasan kilang terbiar.

Kompleks kilang Shakti Mills terletak bersebelahan dengan kawasan pangsapuri fesyen, blok pejabat, kedai dan restoran di pusat kewangan India itu.

Serangan itu mengecewakan penduduk Mumbai selaku sebuah metropolis yang dianggap sebagai kawasan paling selamat untuk wanita berbanding New Delhi.

Keadaan itu mencetuskan bantahan di bandar dan kekecohan di Parlimen.

Sehubungan kejadian itu, polis Mumbai menahan kelima-lima suspek dalam tempoh seminggu selepas insiden berlaku.

Ia juga mendorong seorang operator telefon berumur 19 tahun tampil ke hadapan dan menuduh ketiga-tiga lelaki itu merogolnya di lokasi sama sebulan lebih awal, termasuk dengan dua rakan sejenayah berbeza.

Ketujuh-tujuh mereka dituduh dan dua daripadanya ada pesalah juvana di mana kesemuanya disabitkan kesalahan melakukan dua kes rogol.

Kes di New Delhi pada 2012 mendorong perubahan berlaku dalam undang-undang untuk mengheret perogol yang melakukan kesalahan itu berulang kali ke hukuman mati.

Tiga lelaki yang disabit kesalahan dalam dua kes serangan di Mumbai dihukum gantung, menjadikan ia hukuman pertama sedemikian di bawah pindaan undang-undang.

Ketika hukuman dijatuhkan, mereka berumur 19, 21 dan 28 tahun.

Mahkamah Tinggi Mumbai mengekalkan sabitan mereka pada hari ini, tetapi mengurangkan hukuman kepada penjara seumur hidup yang ketat tanpa parol.

"Kematian menamatkan konsep taubat. Tidak boleh katakan tertuduh hanya layak dihukum mati. Mereka layak dipenjara seumur hidup supaya mereka menginsafi kesalahan yang dilakukan," kata hakim seperti dipetik agensi berita PTI. - AFP

Berita Harian X