Selasa, 23 November 2021 | 2:03pm
Seorang kanak-kanak mengutip sampah di Kandahar. - Foto AFP
Seorang kanak-kanak mengutip sampah di Kandahar. - Foto AFP

Kutipan dana bantuan Afghanistan capai sasaran

NEW YORK: Pembiayaan dana untuk Afghanistan mencapai sasaran ketika keperluan bantuan meningkat, manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran sistem perbankan dan kewangan negara itu berada di ambang kehancuran.

Menurut Stephane Dujarric selaku ketua jurucakap Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, berdasarkan Laporan Program Pembangunan PBB (UNDP), pinjaman tidak berbayar dalam pasaran kredit meningkat daripada sekitar 30 peratus pada akhir 2020 kepada 57 peratus pada September tahun ini.

Katanya, ketika usaha bank untuk mengeluarkan simpanan berterusan, UNDP mengunjurkan bahawa asas deposit akan menyusut sebanyak 40 peratus menjelang akhir tahun.

"Bantuan ke Afghanistan sudah mencukupi sepenuhnya. Negara itu meminta AS$606 juta (RM2.5 bilion) untuk membantu 11 juta orang yang paling memerlukan dalam tempoh empat bulan terakhir tahun ini.

"Kami berterima kasih atas sumbangan masyarakat yang menderma. Bagaimanapun, semua komitmen kewangan belum diterjemahkan ke dalam tindakan di lapangan, disebabkan cabaran sistem kewangan di tengah-tengah krisis tunai dan kecairan," katanya.

Petunjuk dalam laporan itu berfungsi sebagai amaran bahawa sistem perbankan dan kewangan Afghanistan berada di ambang kehancuran.

Dokumen itu juga menggariskan beberapa siri penyelesaian kepada krisis, termasuk insurans deposit, kecairan yang mencukupi untuk sistem perbankan dan jaminan kredit dan pilihan penangguhan pembayaran balik pinjaman untuk ekonomi sebenar.

Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal, berkata tindak balas kemanusiaan di Afghanistan meningkat selari peningkatan pembiayaan dan akses kepada bantuan menyelamatkan nyawa.

Bagaimanapun keperluan dan kelemahan semakin meningkat hingga mengatasi kapasiti kemanusiaan untuk mencapai mereka yang berada dalam krisis.

Jurucakap berkata, separuh daripada masyarakat tidak tahu di mana mereka boleh mendapatkan makanan seterusnya, manakala satu daripada empat wanita hamil dan satu daripada dua kanak-kanak kekurangan zat makanan.

Dari 1 September hingga pertengahan November, rakan kongsi PBB dan pertubuhan bukan kerajaan menyediakan bantuan makanan kepada 7.2 juta orang.

Mereka memberikan rundingan penjagaan kesihatan kepada lebih 880,000 orang, membantu hampir 199,000 orang yang terjejas kemarau melalui trak air dan merawat lebih 178,000 kanak-kanak bawah lima tahun kerana kekurangan zat makanan akut. - BERNAMA

Berita Harian X