Khamis, 14 Oktober 2021 | 9:19am
- FOTO AFPA
- FOTO AFPA

4 maut serangan roket Israel ke Syria

BEIRUT: Serangan udara Israel di tengah Syria semalam menyebabkan empat terbunuh, membabitkan seorang tentera negara itu dan tiga pejuang pro Iran, lapor Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria.

Terdahulu, agensi berita Syria, SANA yang memetik sumber ketenteraan berkata, serangan berhampiran bandar Palmyra di Homs itu membunuh seorang pejuang dan mencederakan tiga lagi tentera.

"Sekitar jam 11:34 malam (waktu tempatan), tentera Israel melakukan serangan udara di kawasan Palmyra yang menyasarkan menara komunikasi dan beberapa kedudukan di sekitarnya," kata sumber itu kepada SANA.

Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di United Kingdom (UK) mendakwa, serangan itu menyasarkan beberapa kedudukan di Iran, antaranya menara komunikasi, berhampiran pangkalan udara T4 di timur Palmyra.

Dilaporkan, serangan itu membunuh seorang askar Syria dan tiga pejuang pro-Iran, namun warganegara terbabit tidak dapat dipastikan.

Dalam serangan itu, tujuh orang termasuk tiga askar Syria cedera. Minggu lalu, badan pemantau itu mendakwa, serangan peluru berpandu Israel menyerang pangkalan udara sama dan membunuh dua pejuang asing pro-Iran.

SANA mendedahkan, enam askar cedera dalam serangan itu. Sejak berlakunya perang saudara Syria pada 2011, Israel sering melancarkan serangan udara ke negara itu dan kebanyakannya adalah menyasarkan pasukan pemerintah Syria serta pasukan Hizbullah Iran serta Lubnan yang bersekutu dengan kerajaan Damsyik.

Israel jarang mengakui serangan dilancar namun berulang kali menegaskan tidak akan membiarkan Syria menjadi kubu kuat musuhnya, Iran. - AFP

Berita Harian X