Sabtu, 9 Oktober 2021 | 7:17pm
Serangan peluru berpandu Israel di pangkalan udara di Syria membunuh sekurang-kurangnya dua pejuang asing bersekutu dengan Damsyik dan mencederakan beberapa anggota perkhidmatan Syria. - Foto AFP
Serangan peluru berpandu Israel di pangkalan udara di Syria membunuh sekurang-kurangnya dua pejuang asing bersekutu dengan Damsyik dan mencederakan beberapa anggota perkhidmatan Syria. - Foto AFP

2 terbunuh serangan Israel ke atas pangkalan udara Syria

BEIRUT: Satu serangan peluru berpandu Israel di pangkalan udara di Syria membunuh sekurang-kurangnya dua pejuang asing yang bersekutu dengan Damsyik dan mencederakan beberapa anggota perkhidmatan Syria.

Pemantau Syria untuk Hak Asasi Manusia menyatakan, dua warga asing yang terbunuh dalam serangan di pangkalan udara T4 semalam tidak diketahui dengan jelas kewarganegaraannya.

Agensi berita rasmi Syria, SANA menyatakan, kira-kira jam 9 malam, musuh Israel melepaskan tembakan peluru berpandu ke arah lapangan terbang tentera T4.

"Serangan itu mencederakan enam tentera dan mengakibatkan beberapa kerosakan material," tambahnya.

Badan pemantau menyatakan, serangan itu menyasarkan sebuah depot dron di pangkalan.

Bagaimanapun, seorang jurucakap tentera Israel menyatakan, tentera tidak memberi komen mengenai laporan media asing.

Sejak perang saudara Syria pada 2011 meletus, Israel secara rutin melakukan serangan udara di Syria, yang kebanyakannya menyasarkan pasukan Hizbullah Iran dan Lubnan yang bersekutu dengan rejim Damsyik serta pasukan tentera Syria.

Tentera Israel jarang mengakui serangan secara individu tetapi telah berulang kali mengatakan bahawa ia tidak akan membiarkan Syria menjadi kubu kuat musuh Irannya. - AFP

Berita Harian X