Sabtu, 2 Oktober 2021 | 12:57pm
 Foto AFP
Foto AFP

38 pesawat China lintasi zon pertahanan Taiwan

TAIPEI: Rekod menunjukkan 38 pesawat ketenteraan China melintasi zon pertahanan Taiwan ketika Beijing menyambut Hari Kebangsaan negara itu, dakwa Taipei hari ini.

Pertunjukan ketenteraan Hari Kebangsaan China semalam diadakan berhampiran pulau demokratik ditadbir sendiri, yang mana Beijing menuntut kawasan itu sebahagian wilayahnya.

Sambutan itu dilakukan pada minggu sama Beijing mendakwa Britain menghantar kapal perangnya ke Selat Taiwan yang disifatkan tindakan berniat jahat.

Kementerian Pertahanan Taiwan berkata pihaknya mengeluarkan siaran amaran setelah mengesan 22 pesawat pejuang, dua pesawat pengebom dan satu pesawat antikapal selam memasuki Zon Pengenalan Pertahanan Udara (ADIZ) dekat barat daya pulau itu semalam.

Kumpulan kedua terdiri 13 jet melintasi ADIZ pada Jumaat, dalam 'pencerobohan' malam yang jarang berlaku sekali gus menjadikan jumlah pesawat China melintasi kawasan itu sebanyak 38 kali, menurut kementerian.

ADIZ tidak sama seperti ruang udara wilayah Taiwan tetapi termasuk kawasan yang jauh lebih luas dan bertindih dengan bahagian zon identifikasi pertahanan udara China serta termasuk kawasan tanah besar negara itu.

Beijing sering menghantar pesawat ketenteraannya ke zon pertahanan udara Taiwan untuk menunjukkan kekuatan. Pada minggu lalu, 24 pesawat memasuki kawasan negara pulau itu selepas Taiwan memohon menyertai pakatan perdagangan trans-Pasifik.

Pemimpin autokratik China berikrar untuk merebut Taiwan dengan apa cara sekali pun termasuk menggunakan paksaan jika perlu.

Beijing meningkatkan tekanan terhadap Taipei sejak pemilihan Presiden Tsai Ing-wen pada 2016, yang melihat pulau itu sebagai 'sudah merdeka'.

Tahun lalu, jet tentera China mencatatkan 380 pencerobohan ke zon pertahanan Taiwan, dan jumlah pencerobohan selama sembilan bulan pertama tahun ini sudah melebihi 500.

Ia berlaku selepas Britain buat pertama kali sejak 2008 menghantar kapal perangnya ke Selat Taiwan Isnin lalu, yang dilihat sebagai langkah mencabar tuntutan Beijing terhadap laluan air sensitif itu, yang sebelum ini hanya digunakan tentera laut Amerika Syarikat (AS).

Rekod harian sebelum ini pada 15 Jun lalu pernah mencatatkan 28 pesawat menceroboh ADIZ Taiwan. - AFP

Berita Harian X