Ahad, 12 September 2021 | 8:09am
Seorang daripada dua banduan warga Palestin yang ditahan semula oleh polis selepas ditemui bersembunyi di parkir lori, luar Nazareth di utara Israel. - Foto AFP
Seorang daripada dua banduan warga Palestin yang ditahan semula oleh polis selepas ditemui bersembunyi di parkir lori, luar Nazareth di utara Israel. - Foto AFP

Israel terus buru dua warga Palestin bolos penjara

BAITULMAQDIS: Polis semalam, berkata insiden enam warga Palestin

yang berjaya meloloskan diri daripada penjara keselamatan tinggi, Gilboa dengan empat daripadanya berjaya ditahan semula sebagai tindakan paling berani pernah berlaku dalam sejarah negara.

Selepas meloloskan diri pada Isnin lalu, Israel mengerah sekumpulan besar tenteranya ke Tebing Barat bagi memburu semua banduan itu.

Menurut polis, seorang daripada dua warga Palestin yang ditahan semula adalah bekas pemimpin gerakan terkemuka dan dijumpai bersembunyi di parkir lori, terletak di luar Nazareth dekat utara Israel.

Zakaria Zubeidi, 46, mengetuai sayap bersenjata gerakan Fatah pimpinan Presiden Palestin, Mahmud Abbas di bandar Jenin dekat Tebing Barat.

Sementara itu, Mohammad Ardah, 39, menerima hukuman penjara seumur hidup pada 2002 kerana peranannya dalam gerakan sayap bersenjata.

Polis berkata, kedua-duanya 'bersembunyi dalam parkir untuk trak'.

"Pencarian membabitkan dua lagi banduan yang melarikan diri akan diteruskan," katanya.

Petang kelmarin, polis menahan dua ahli kumpulan pejuang di Palestin iaitu Yaqub Qadri, 48, dan Mahmud Abdullah Ardah, 45.

Mahmud didakwa sebagai dalang rancangan melarikan diri berkenaan.

"Polis mengesan dan mengejar mereka dengan helikopter. Mereka tidak melawan ketika ditahan di selatan Nazareth," kata pihak polis dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett memuji operasi yang disifatkan sebagai tindakan 'bersungguh-sungguh dan berterusan' sehingga membawa kepada penemuan empat tahanan itu.

"Operasi perlu diteruskan sehingga penangkapan semula dua lagi tahanan yang tinggal," katanya yang merujuk kepada dua lagi banduan yang masih gagal ditemui, Ayham Kamamji, 35, dan Munadel Infeiat, 26.

Sebelum ini, enam warga Palestin berkenaan berjaya meloloskan diri daripada penjara melalui terowong yang dikorek di bawah sinki. - AFP

Berita Harian X