Sabtu, 24 Julai 2021 | 10:16pm
Gambar fail menunjukkan pasukan tentera udara Afghanistan menggunakan helikopter jenis Black Hawk tinggalan tentera Amerika Syarikat (AS) untuk menghantar bekalan. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan pasukan tentera udara Afghanistan menggunakan helikopter jenis Black Hawk tinggalan tentera Amerika Syarikat (AS) untuk menghantar bekalan. - Foto AFP

Afghanistan isytihar perintah berkurung

KABUL: Pihak berkuasa Afghanistan hari ini menguatkuasa perintah berkurung malam di 31 daripada 34 wilayahnya untuk mengekang keganasan militan Taliban dalam tempoh beberapa bulan ini.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, kekerapan serangan Taliban menyebabkan puak pemberontak mengawal pintu sempadan, puluhan daerah dan ibu kota wilayah sejak awal Mei.

"Untuk membendung keganasan dan mengekang pergerakan Taliban, perintah berkurung pada waktu malam dikuatkuasa di 31 wilayah seluruh negara.

"Pengecualian perintah ini hanya di Kabul, Panjshir dan Nangarhar, " menurut kenyataan kementerian itu.

Jurucakap Timbalan Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zia Zia, dalam kenyataan berasingan, berkata perintah berkurung itu dilaksanakan bermula jam 10 malam hingga 4 pagi waktu tempatan.

Dengan pengunduran pasukan tentera Amerika Syarikat (AS), kebangkitan Taliban menyaksikan mereka kini menguasai kira-kira separuh daripada 400 daerah di Afghanistan.

Serangan diteruskan selepas reda pada minggu sambutan Aidiladha dengan pihak berkuasa mendakwa sudah membunuh lebih 260 pejuang Taliban dalam tempoh 24 jam di beberapa wilayah.

Kedua-dua pihak berkuasa dan Taliban bagaimanapun dilihat memperbesarkan dakwaan mereka yang tidak dapat disahkan.

Khamis lalu, Jurucakap Pentagon, John Kirby, berkata berikutan peningkatan pertempuran sejak beberapa minggu lalu, pihak tentera AS diminta melancarkan serangan udara bagi menyokong tentera Afghanistan menentang serangan Taliban.

Sementara itu, pakar menyatakan kekurangan sokongan AS sejak Mei lalu terhadap pihak berkuasa Afghanistan di lapangan adalah faktor utama kerajaan kehilangan banyak wilayah kepada Taliban.

Taliban semalam memberi amaran kepada tentera AS supaya tidak melakukan serangan udara.

"Ia secara jelas adalah perlanggaran terhadap perjanjian yang sudah dipersetujui dan akan menerima akibatnya," menurut Taliban dalam satu kenyataan, merujuk kepada perjanjian penting antara mereka dengan Washington tahun lalu.

Taliban turut memberi amaran kepada kerajaan Afghanistan supaya tidak melancarkan sebarang serangan, sekali gus menegaskan kumpulan itu akan menyerang dan tidak hanya bertahan sekiranya diserang.

Sebelum ini, Taliban menyatakan bahawa pejuang kumpulan itu berada pada kedudukan pertahanan sebagai menghormati sambutan Aidiladha yang berakhir Khamis lalu.

Awal minggu ini, Pengerusi Gabungan Ketua Kakitangan AS, Jeneral Mark Milley, berkata Taliban dilihat memiliki momentum strategik di medan perang.

Jelas beliau, dengan kumpulan itu meletakkan tekanan di separuh daripada wilayah negara berkenaan, tentera Afghanistan kini dalam proses menggabungkan kekuatan mereka untuk melindungi pusat bandar utama. - AFP

Berita Harian X