Khamis, 22 Julai 2021 | 2:16pm
 Penduduk menjalani ujian asid nukleik bagi saringan COVID-19 do Nanjing. - Foto AFP
Penduduk menjalani ujian asid nukleik bagi saringan COVID-19 do Nanjing. - Foto AFP

'Audit makmal siasat punca COVID-19 tindakan angkuh'

BEIJING: China menyifatkan cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mengaudit makmal bagi menyiasat asal usul COVID-19 menunjukkan tindakan tidak hormat dan angkuh terhadap sains.

Jumaat lalu, WHO berkata tahap kedua siasatan antarabangsa harus merangkumi pengauditan makmal China, di tengah peningkatan tekanan daripada Amerika Syarikat (AS) untuk menjalankan siasatan ke atas Institut Virologi Wuhan dan menjelang lawatan Timbalan Setiausaha AS, Wendy Sherman ke China pada hujung minggu.

Cadangan yang digariskan oleh Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus termasuk menjalankan audit ke atas makmal dan institusi penyelidikan relevan yang beroperasi di kawasan kes pertama dikesan terhadap manusia yang merujuk kepada Wuhan di China.

Wakil Menteri Kesihatan China, Zeng Yixin pada sidang media hari ini berkata beliau sangat terkejut dengan cadangan itu yang disifatkan tidak menghormati dan angkuh terhadap sains.

Beijing menolak keras idea bahawa virus mungkin berpunca daripada kebocoran makmal dan ia semakin mendapat perhatian.

Beijing berulang kali menegaskan bahawa kebocoran itu sangat tidak mungkin berlaku berdasarkan kesimpulan yang dicapai oleh misi bersama WHO-China ke Wuhan pada Januari.

Pengarah Makmal Biokeselamatan Nasional di Institut Virologi Wuhan, Yuan Zhiming berkata tidak ada kebocoran patogen atau kemalangan jangkitan terhadap kakitangan yang berlaku sejak makmal dibuka pada 2018. - AFP

Berita Harian X