Selasa, 20 Julai 2021 | 7:49am
Anggota pasukan keselamatan Iraq memeriksa lokasi letupan di sebuah pasar di Sadr City, pinggir Baghdad yang mengorbankan hampir 30 nyawa. - Foto AFP
Anggota pasukan keselamatan Iraq memeriksa lokasi letupan di sebuah pasar di Sadr City, pinggir Baghdad yang mengorbankan hampir 30 nyawa. - Foto AFP
Anggota keselamatan dan warga Iraq memeriksa lokasi letupan di pasar di Kota Sadr, timur Baghdad. - Foto AFP
Anggota keselamatan dan warga Iraq memeriksa lokasi letupan di pasar di Kota Sadr, timur Baghdad. - Foto AFP

Letupan bunuh diri di Iraq ragut hampir 30 nyawa

BAGHDAD: Kumpulan militan mengaku bertanggungjawab dalam insiden letupan bunuh diri di sebuah pasar ibu kota Iraq menjelang perayaan Aidiladha awal pagi ini, membunuh hampir 30 orang, menurut sumber perubatan.

Menerusi mesej disiarkan ke saluran Telegram, kumpulan militan itu memaklumkan seorang pengebom berani mati bernama Abu Hamza al-Iraqi meletupkan tali pinggang peledaknya di tengah-tengah orang ramai di Sadr City, sebuah bandar di pinggir Baghdad pada malam Isnin, membunuh lebih 30 dan mencederakan 35 yang lain.

Serangan terburuk di Baghdad sejak beberapa tahun kebelakangan itu, menyaksikan beberapa mangsa ledakan itu terbaring di seberang pasar yang sebelumnya dipenuhi pembeli barangan makanan menjelang perayaan Aidiladha.

Kira-kira 50 orang tercedera dalam letupan itu, menurut pakar perubatan.

Presiden Iraq, Barham Salih menyifatkan pengeboman di pinggir kota Sadr yang majoriti penduduk Syiah itu satu perbuatan keji serta mengucapkan takziah kepada mangsa.

"Mereka menyasar orang awam kita di Sadr City pada malam Aidiladha. Mereka tidak membiarkan orang bergembira, biarpun untuk seketika," kata Salih dalam ciapan di Twitter.

Lapan wanita dan tujuh kanak-kanak antara yang maut, menurut sumber perubatan sambil memberitahu angka kematian keseluruhan antara 28 dan 30 orang.

Dalam kenyataan pagi ini, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mengesahkan kanak-kanak antara yang terbunuh dan cedera dalam serangan itu.

"Serangan mengerikan yang hadir sebelum Aidiladha adalah peringatan mengerikan terhadap keganasan yang terus dihadapi oleh kanak-kanak Iraq," katanya.

Rakaman video yang dikongsi di media sosial selepas letupan itu menunjukkan mangsa berdarah dan orang ramai menjerit ketakutan.

Letupan kuat itu merosakkan bahagian bumbung gerai di pasar berkenaan.

"Serangan keganasan menggunakan IED buatan tempatan (alat letupan) di Pasar Woheilat di Sadr City, di Baghdad timur menyebabkan beberapa mangsa meninggal dunia, manakala yang lain cedera," kata Kementerian Dalam Negeri Iraq dalam satu kenyataan.

Susulan itu, Perdana Menteri, Mustafa al-Kadhemi mengadakan pertemuan tergempar dengan ketua ketenteraan dan agensi keselamatannya. - AFP

Berita Harian X